Waiting For Hero(s) - (Ikut gaya Dollah Jones tulis tajuk bahasa Inggeris tapi aku tak ada sebab apa pun).
Pesta Bola Merdeka 2008 melabuhkan tirai sebentar tadi. Setelah termengah-mengah mengejar bola dan haram sebiji jadah golpun tak diperolehi sepanjang 90 minit perlawanan (tak masuk masa kcederaan) dan 30 minit masa tambahan, Malaysia akhirnya tewas kepada pasukan Vietnam dengan sepakan penalti. Malaysia tewas 6-5.
Aku bukannya peminat fanatik bola sepak apatah lagi untuk menyepak dan mengejarnya di tengah padang. Seingat aku, dulu-dulu semasa di sekolah rendah aku didedahkan dengan permainan ini dengan duduk di luar padang melihat rakan-rakan lain bermain waktu matapelajaran jasmani.
Jiwa kanak-kanak aku ketika itu bersemangat untuk bersama-sama diaorang bermain di padang. Namun haram jadah, cik gu jasmani yang suka ludah muka murid-muridnya tu tak bagi main sama, pasal katanya aku ni lembik dan kaki bangku. Dan, aku hanya melihat rakan-rakan aku yang gagah tu menyepak dan menendang bola.
Lewat tahun 70an dan awal 80an aku sekali lagi terlibat dengan permainan ini. Kali ini bukan di padang sekolah tapi di stadium. Ketika para penonton bersesak-sesak untuk masuk ke stadium aku juga turut serta cuma bezanya aku membawa raga berisi air minuman yang telah dibungkus untuk dijual.
Ketika ini baru aku belajar sesuatu tentang bolasepak. Aku bukan saja seronok belajar tentang peraturan-peraturan dan term-term yang ada dalam permainan ini seperti outside, faul, conner kick, penalti, striker, defender, left/right wing, free kick, wall dan macam-macam lagi jadahnya.
Apa yang lagi seronok bila melihat aksi-aksi dan reaksi-reaksi penonton. Wajah-wajah yang penuh emosi dan semangat hingga ada yang hilang suara dek kerana sorakan gembira ketika pasukannya menjaringkan gol. Mereka akan melompat dan bertepuk tampar dengan orang di sebelah walau tidak kenalpun namanya. Segala penderitaan dan masalah hilang seolah-olah mereka tidak pernah menghadapinya.
Ketika pasukan mereka ketinggalan, wajah-wajah ini bertukar menjadi muram dan gelisah sekali sekala carutan dihemburkan dari mulut yang bibir putih dan pucat. Ketika tulah aku sedar mereka yang bermain dipadang itu bukan hanya sekadar bermain tapi bertarung.
Mereka adalah Gladiator zaman moden. Hero atau wira. Dan, inilah yang aku nak perkatakan di sini.
Hero atau wira adalah satu lambang yang boleh menyatukan masyarakat dan membangkitkan semangat mereka untuk meneruskan hidup walau sesukar mana halangan dan rintangan yang ada di hadapan.
Hero atau wira adalah satu lambang yang boleh menyatukan masyarakat dan membangkitkan semangat mereka untuk meneruskan hidup walau sesukar mana halangan dan rintangan yang ada di hadapan.
Dan, sukan adalah salah satu tempat yang membolehkan hero lahir dalam masyarakat.
Jika kita ada menonton filem Cinderella Man arahan Ron Howard (jangan keliru dengan Mr Cinderella arahan Ahmad Idham nanti rujukan anda akan jadi sampah seperti filem tu juga) kita akan lihat bagaimana semangat juang James J. Braddock (lakonan mantap Russell Crowe) seorang peninju yang berjaya mengembalikan keyakinan dan semangat masyarakatnya.
Filem ini mengambil latar tahun di mana dunia mengalami kemelesetan ekonomi yang teruk (Great Depression- ianya bermula di Amerika tahun 1929 dan negara-negara lain turut terpalit sama. Selama hampir satu dekad barulah pulih (lewat 30an awal 40an).
Orang ramai kehilangan kerja, tempat tinggal malah kebuluran bila pasaran saham (stock market) di brusa saham jatuh menjunam. Braddock yang sudah tak dapat bertinju kerana kecederaan telah kehilangan segala hartanya yang telah dilaburkan. Apabila keadaan makin teruk, dia tekad untuk kembali bertarung untuk menyara keluarganya dan secara kebetulan dia mendapat peluang tersebut (sebagai peninju penganti).
Dan, bermulalah come back nya ke arena tinju. Dari seorang yang sudah tidak dipedulikan seperti kucing kurap dia akhirnya menjadi hero. Semangat juangnya memberi satu semangat kepada masyarakatnya agar tidak putus asa dengan kecelakaan yang menimpa. Nak tau cerita secara detail pi lah cari v/dvd kat kedai sapa suruh tak tengok masa main kat panggung dulu. Pasal aku bukan nak ulas tetang filem ni, aku cuma nak cakap pasal hero.
Apa yang aku nak kata kita tak boleh cipta hero. Menghantar (menumpangkan) seseorang ke angkasa lepas untuk menjadikan dia hero tidak akan membolehkan dia jadi hero. Walaupun muka dia hensem tapi itu hanya menepati ciri-ciri hero untuk filem Yusof Haslam, Razak Mohideen, Ahmad Idham dan pengarah-pengarah yang sewaktu dengannya.
Mungkin juga mereka yang menghantar mamat ni ke bulan berfikiran seperti pengarah-pengarah ni (kasihan kat mamat yang sorang lagi tu diapun nak jadi hero tapi apakan daya rupamu tak macam shah rukh khan) dan berharap sang hero akan tercipta. Usaha ini sangat-sangat menampakkan yang kita amat-amat teramat amat memerlukan hero untuk menjadi idola masyarakat.
Tapi kita lupa hero kita tak boleh cipta ianya muncul dan memberi harapan kepada masyarakatnya. Masyarakatlah yang mencipta hero seperti dalam cerita Cinderella Man, Braddock hanya berkerja untuk menyara keluarganya agar tidak kebuluran tapi semangatnya telah menjadikan dia hero oleh masyarakatnya ketika itu.
Sekarang ini pasaran saham dunia turut jatuh menjunam tidak mustahil dunia akan kembali meleset seperti Great Depression dulu. Mungkinkah akhirnya akan lahir hero dalam masyarakat kita.
Namun bila menonton semangat perjuangan pemain bolasepak kita malam tadi aku masih belum melihat tandanya. Dan, aku masih menunggu lahirnya hero untuk memberi kekuatan, semangat, harapan kepada masyarakat kita yang makin hilang arah dan roh di dunia/negara yang makin menekan ini.
p/s teringatkan Mohtar Dahri yang memberikan aku kekuatan walau menjamah nasi berlauk garam atau ketika bangun ditengah malam semasa hujan ribut berdiri di luar pondok buruk melihatnya senget megikut arah angin. Ketika itu aku budak yang ada heronya.
:-NAMRON
Tiada ulasan:
Catat Ulasan