Lagi Bijak Lagi Taat
Masalah seksual antara suami isteri adalah isu sensitif yang sering didiamkan, tetapi memberikan impak yang besar kepada diri sendiri, keluarga, dan masyarakat. Terlalu banyak kes perceraian, perzinaan, dan persundalan yang berpunca daripada kegagalan mendapat kepuasan seks daripada pasangan.
Keadaan ini menjadi lebih rumit jika yang terkesan adalah isteri. Hal ini demikian kerana suami boleh berkahwin lagi, tetapi isteri tidak. Mereka seperti tergantung tidak bertali. Suami ada macam tiada. Ada kes, suami mengadakan hubungan kelamin dengan isteri hanya lima kali setahun! Sudah menggoda, dan sudah bersuara; tapi suami tetap membatu, tetap tidak membantu.
Kita semua tahu bahawa perempuan lebih “malu” dan lelaki lebih “kuat”. Jadi, apabila ini berlaku, dunia seakan-akan terbalik. Bagaimanakah si isteri hendak berhadapan dengan dunia?! Adakah aku yang tak normal? Adakah aku gila seks? Adakah imanku terlalu lemah? Sanggupkah aku bercerai semata-mata kerana nafsu dan memisahkan anak-anak daripada ayah mereka hanya disebabkan seks? Apa kata keluarga, kawan, dan orang ramai? Aku perempuan celaka. Argh!
Bayangkan perempuan-perempuan yang menghadapi suami-suami sebegini cantik-cantik dan pergi ke tempat kerja yang dikelilingi lelaki-lelaki tampan dan nakal. Bayangkan mereka berdua-duaan dengan bos miang di pejabat atau keluar kawasan bersama rakan sekerja yang gatal. Bayangkan mereka mula membuka mulut, bercerita tentang masalah suami mereka kepada lelaki lain yang kebetulan mempunyai masalah dengan isteri sendiri. Apakah yang akan terjadi? Tidak perlu jawapan. Semuanya, lebih-lebih lagi apabila banyak cerita dalam kelambu tanpa segan silu dicanangkan seperti Durex di rak kaunter, jelas di depan mata.
Mazhab Shāfi‘ī memang mengatakan jimak adalah hak suami dan tanggungjawab isteri, bukan sebaliknya. Hukum memuaskan isteri sunat sahaja, yang bilangannya ditentukan sekali setiap empat hari. Isteri juga tidak boleh menuntut fasakh jika suami enggan menyetubuhinya walau untuk tempoh yang lama, bahkan hak isteri untuk memfasakhkan perkahwinan disebabkan suami mati pucuk terhenti jika mereka pernah bersetubuh walau sekali. Jika berpoligami, suami tidak perlu berlaku adil dalam soal seks. Suami boleh menjimak seorang isteri dan membiarkan yang lain tidak bersentuh sama sekali. Namun, pendapat ini bermasalah dari pelbagai sudut, termasuk dalil.
Pendapat yang kuat secara teori dan terbaik secara praktikalnya, wallahualam, adalah pendapat yang menganggap kepuasan seks sebagai hak isteri kerana ia termasuk dalam وعاشروهن بالمعروف yang dituntut oleh syariat, yang kadarnya berbeza-beza mengikut keperluan, iaitu satu riwayat daripada Imam Aḥmad dan yang dipilih oleh Shaykh al-Islām Ibnu Taymiyyah dan Ibnu al-Qayyim. Menurut pendapat ini, seks seperti makanan, kadarnya bergantung kepada keperluan isteri. Jika keperluan ini gagal dipenuhi, isteri boleh menuntutnya di mahkamah dan hakim perlu menentukan kekerapan seks yang sepatutnya. Isteri juga boleh menuntut fasakh jika suami gagal melayani syahwatnya.
Jadi, bagi isteri-isteri yang malang, mohon berterus terang dengan suami jika anda memerlukan lebih layanan. Jangan diam. Jangan pendam. Pada masa yang sama, cuba goda suami atau guna alternatif lain (seperti menggunakan tangan suami, jika kemaluannya seperti هدبة الثوب). Jika tidak berkesan, dan kalian terdedah kepada hukuman rejam sampai mati, maka perkahwinan sudah tiada fungsi. Bincang dengan suami untuk bercerai, atau angkat terus ke pejabat kadi. Jangan sesekali meluahkan kepada lelaki lain, kerana ini dikira curang dan lelaki itu boleh didakwa kerana mengganggu isteri orang. (Dan tolong jangan menghubungi mana-mana lelaki dengan niat berkahwin kecuali selepas tamat ‘iddah.)
Kepada suami-suami di luar sana, sila cakna keperluan batin isteri anda. وإن لزوجك عليك حقًّا. Perkahwinan hanya antara dua: فإمساك بمعروف أو تسريح بإحسان. Jika tidak mampu, lepaskan. Jangan pentingkan diri sendiri. Beri peluang kepada lelaki lain. Masih banyak lelaki yang memerlukan perempuan seperti isteri anda. Jangan kedegilan dan ego sebagai suami menghancurkan hidup dan agama seorang isteri. Seperti lelaki, perempuan boleh berubah menjadi jahat kerana tuntutan batinnya tidak dipenuhi. Jangan sampai mereka dicekup berkhalwat di bilik hotel dengan lelaki lain, hanya kerana memiliki suami yang bodoh dan sombong.
Ustaz Muhammad Izzat al-Kutawi
Ulasan