DOA UNTUK ORANG YANG BERBUAT KEBAIKAN KEPADAMU

DOA UNTUK ORANG YANG BERBUAT KEBAIKAN KEPADAMU
جَزَاكَ اللهُ خَيْرًا

"Semoga Allah membalasmu dengan kebaikan."

(HR Al-Tirmizi 2035, Sahih)

PENGAJARAN DARIPADA HADIS

Ucapan ini membuktikan bahawa seseorang yang menyebutnya mengiktiraf bahawa hanya Allah yang mampu membalas kebaikan yang dia lakukan dengan balasan baik. Perlu diketahui bahawa ganjaran baik Allah yang berupa syurga tidak ada tolok bandingnya dengan nikmat lain.

Maka apabila seseorang mendoakan dengan doa ini bermakna dia telah bersungguh-sungguh ingin membalas kebaikan orang yang berbuat baik kepadanya. Oleh itu, para ulama menyebut:

إِذَا قَصُرَتْ يَدُكَ عَنِ الْمُكَافَأَةِ، فَلْيَطُلْ لِسَانُكَ بِالشُّكْرِ وَالدُّعَاءِ

"Apabila tangan engkau tidak mampu membalas kebaikan orang, maka panjangkanlah lidahmu dengan kesyukuran dan doa (untuk pemberi kebaikan)."

Ucapan ini tidaklah bermakna si pengucapnya telah membalas kebaikan, terutama jika dia mampu membalas kebaikan tersebut dengan pemberian baik lain. Tetapi ia bermakna si pengucap telah berusaha untuk memuji si pemberi kebaikan.⁴ Sabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam:

مَنْ صُنِعَ إِلَيْكُمْ مَعْرُوفٌ فَكَافِئُوهُ، فَإِنْ لَمْ تَجِدُوا مَا تُكَافِئُونَهُ فَادْعُوا لَهُ حَتَّى تَرَوْا أَنَّكُمْ قَدْ كَافَأْتُمُوهُ

"Sesiapa yang berbuat baik kepada kamu maka hendaklah kamu membalasnya (dengan kebaikan). Jika kamu tidak jumpa sesuatu untuk kamu balas kebaikan tersebut, maka berdoalah untuknya sehingga kamu dapati kamu telah membalasnya."

(HR Abu Daud no. 1672 dan Ahmad 5365, Sahih)

⁴ Lihat: al-Son'ani, *Subul al-Salam*, jil. 6, hal. 366.

Rujukan Dari Buku 40 Amalan Mudah Menurut Sunnah (Amalan 1)

Ulasan

Catatan Popular