3 kali
MENGULANGI TIGA KALI BAGI SESUATU YANG PENTING BILA DISAMPAIKAN
Daripada Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu berkata:
كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعِيدُ الْكَلِمَةَ ثَلَاثًا لِتُعْقَلَ عَنْهُ
"Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam akan mengulang setiap perkataan yang keluarnya dari mulutnya sebanyak tiga kali agar dapat difahami."
(HR Al-Tirmizi no. 3640, Sahih)
PENGAJARAN DARIPADA HADIS
Perbuatan mengulang perkataan atau maklumat penting adalah merupakan Sunnah Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam.
Al-Munawi menyebutkan hikmah pengulangan tiga kali ini. Kata beliau sebutan pertama untuk hadirin mendengar, sebutan kedua untuk mengambil perhatian dan sebutan ketiga merupakan arahan untuk mereka amalkan.
Boleh juga dikatakan sebutan pertama untuk hadirin mendengar, sebutan kedua untuk mereka hafal dan sebutan ketiga untuk mereka fikir.⁵
Baginda sendiri mempraktikkan amalan ini dalam beberapa hadisnya jika ingin menyampaikan perkara penting. Berikut merupakan contoh daripada hadis yang menunjukkan Baginda mengulang maklumat penting:
a. Pesanan Jangan Marah
Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam pernah memberi pesan kepada lelaki yang datang kepada Baginda meminta pesanan dan nasihat dengan nasihat: Jangan marah.⁶ Baginda Nabi mengulang-ulang pesanan tersebut berkali-kali supaya ia lekat dalam ingatan. Ibn Hajar menjelaskan bahawa pengulangan ini dilakukan sebanyak tiga kali berdasarkan riwayat Uthman bin Abi Syaibah.⁷
Perlu diingat bahawa larangan marah ini sebenarnya bukanlah bermaksud melenyapkan perasaan marah. Ia tidak mungkin dapat dilakukan oleh manusia yang waras. Sebaliknya larangan ini bermaksud elakkan diri daripada terjebak dalam perkara yang membawa kemarahan.⁸
Ibn Battal pula menegaskan larangan ini bermaksud Baginda menganjurkan lelaki tersebut mengawal diri ketika marah.⁹ Ini kerana hilang kawalan sewaktu marah merupakan pintu kejahatan.¹⁰ Maka Baginda mengulanginya supaya lelaki itu mendengar dan mengingatinya.
b. Amaran Tentang Sumpah Palsu
Dalam hadis, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam mengulangi lafaz sumpah palsu berkali-kali dan memberi amaran kepada umat tentangnya. Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:
أَكْبَرُ الْكَبَائِرِ: الْإِشْرَاكُ بِاللهِ، وَعُقُوقُ الْوَالِدَيْنِ، وَشَهَادَةُ الزُّورِ، وَشَهَادَةُ الزُّورِ - ثَلَاثًا - أَوْ: قَوْلُ الزُّورِ
"Sebesar-besar dosa ialah syirik kepada Allah, menderhakai ibu bapa dan sumpah palsu. Baginda mengulanginya tiga kali ataupun Baginda menyebut: Kata-kata palsu. Baginda sentiasa mengulanginya sehingga kami berkata: Alangkah baiknya jika Baginda berhenti berkata sekarang (kerana kasihankan Nabi mengulanginya berkali-kali sehingga merunsingkan Baginda)."
Tetapi mengulang perkataan atau maklumat ini hanya dikhususkan kepada maklumat penting sahaja.¹² Ini kerana jika kita melihat hadis-hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam terdapat banyak hadis-hadis yang Baginda tidak mengulanginya.
⁵ Lihat: al-Munawi, Faidh al-Qadir, jil. 5, hal. 234.
⁶ Sahih al-Bukhari, jil. 5, hal. 2267.
⁷ Lihat: Ibn Hajar, Fath al-Bari, jil. 10, hal. 520.
⁸ Lihat: Ibn Hajar, Fath al-Bari, jil. 10, hal. 520.
⁹ Lihat: Ibn Battal, Syarah Sahih al-Bukhari, jil. 9, hal. 296.
¹⁰ Lihat: al-Nawawi, Syarah Sahih Muslim, jil. 8, hal. 434.
¹¹ Sahih al-Bukhari, jil. 6, hal. 2535.
¹² Lihat: al-Mubarakfuri, Tuhfat al-Ahwazi, jil. 10, hal. 86.
Ulasan