KUMPULAN Hizbullah di Lubnan semalam melepaskan lebih 60 roket ke arah pangkalan tentera Israel sebagai tindak balas terhadap pembunuhan timbalan ketua Hamas di Beirut.
“Ia sebahagian daripada tindak balas awal terhadap jenayah membunuh pemimpin besar Sheikh Saleh al-Aruri.
“Hizbullah menyasarkan pangkalan kawalan udara Meron dengan 62 pelbagai jenis peluru berpandu,” kata kumpulan yang disokong Iran itu dalam satu kenyataan.
Kedua-dua pihak, terutamanya antara tentera Israel dan Hizbullah yang merupakan sekutu Hamas saling berbalas tembakan sejak perang Israel-Palestin meletus pada 7 Oktober.
Pembunuhan Aruri pada Selasa di kubu kuat Hizbullah di selatan Beirut, yang menurut seorang pegawai pertahanan AS dilakukan oleh Israel, telah menimbulkan kebimbangan yang berlarutan.
Siren berbunyi di udara di pekan-pekan dan bandar-bandar di seluruh utara Israel semalam, termasuk Dataran Tinggi Golan yang diduduki Israel.
Tentera Israel mendakwa pihaknya telah mengenal pasti kira-kira 40 roket dilancar dari wilayah Lubnan pagi semalam. – AFP, 7 Januari, 2024.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan