Khamis, 11 Januari 2024

JANGAN MENGUMPAT ULAMAK

1. Gedung ilmu pada zaman ini iaitu Syaikh Yusuf al-Qaradawi. Beliau mengarang ratusan jilid kitab kitab dan karyanya digunakan hampir di seluruh dunia Islam pada zaman ini. Fatwa dan pandangannya digunakan dalam institusi agama di negara Islam. Pandangan berkaitan Zakat Pendapatan yang digunakan dalam negara kita ini adalah hasil fatwa al-Qaradawi. 

2. Gempar dalam negara kita ada tok guru pondok menghina beliau dengan gelaran "Sewel" dan bermacam perkataan memperlekeh beliau, yang mempertahankan Syaikh al-Qaradawi tidaklah ramai walaupun ada. Solidariti di laman sosial, tiktok tidaklah sebanyak mana. 

Namun apabila agamawan atau ustaz tempatan yang diminati disentuh dan dikritik, ketika itu barulah ramai yang bangun mempertahankan. Sesiapa yang berbeza dengan mana-mana agamawan selebriti dianggap menghina ulamak. Walaupun hakikatnya kita juga bersama pandangan ulamak silam. 

Berdasarkan hal ini, seseorang itu dianggap sebagai alim ataupun tidak dalam konteks negara kita berdasarkan pengaruh dan populariti. 

3. Kita menghormati ahli ilmu yang sebenarnya. Rasulullah bersabda:

لَيْسَ مِنْ أُمَّتِي مَنْ لَمْ يُجِلَّ كَبِيرَنَا وَيَرْحَمْ صَغِيرَنَا وَيَعْرِفْ لِعَالِمِنَا حَقَّهُ

“Tidak termasuk daripada umatku, sesiapa yang tidak menghormati orang yang lebih tua, menyayangi yang lebih muda dan mengetahui (menghormati) hak-hak para ulama”

Maksud hadith ini bukanlah menjadi kafir atau terkeluar daripada umat baginda, kata al-Mubarakfuri adalah tidak termasuk orang yang mengikut jalan petunjuk baginda. Oleh sebab itu, kita perlu menghormati ahli ilmu. Hak mereka perlu dijaga. 

Namun, menjadi perselisihan pada zaman ini adalah kerana kita menganggap guru kita sebagai ahli ilmu sedangkan orang lain tidak. Lantaran itu kita membuat kesimpulan barangsiapa yang berbeza dengan guru kita dia dianggap menghina ulamak, manakala sesiapa yang bersama guru kita dianggap pencinta ulamak sebenar. Ini yang berlaku dalam masyarakat kita sehingga kita bermudah-mudahan menuduh seseorang itu membenci dan menghina ulamak hanya kerana dia tidak bersama guru kita.

Tiada ulasan:

Tak Kaya Tak Papa Kedana

Soalan: Saya sebelum ini menganggur beberapa bulan. Sekarang baru dapat kerja. Tapi gaji tak sama macam dulu. Sekadar cukup untuk nafkahi is...