Rabu, 16 September 2015


Masuk sahaja 16 September 2015, genaplah 52 tahun Malaysia menjadi Malaysia. Dalam tidak sedar, telah lebih separuh dekad negara Persekutuan ini terbentuk hasil gabungan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.
Jauh daripada kebetulan, harini juga merupakan “Himpunan Baju Merah” yang berhasrat mengumpulkan segenap orang Melayu untuk ke Kuala Lumpur atas nama “perpaduan Melayu”.
Pun begitu, ada juga pihak yang terlebih dahulu mengadakan sidang media mengatakan mereka akan berhimpun untuk “mengajar Cina DAP yang kurang ajar”. Juga diikuti sidang UMNO Kota Bharu, dalam keadaan berbaju merah (sama ada kebetulan mereka UMNO atau mengikut semangat perhimpunan itu) telah berhimpun mengadakan ceramah dan membakar patung pemimpin tertinggi DAP, juga Cina.
Malah seolah-olah dirancang, tidak ramai mana Melayu menyertai Bersih 4.0 tempoh hari dan lebih kurang dua minggu kemudian, perhimpunan yang mahu mengumpul sejumlah orang Melayu pula diadakan.
Secara peribadi malah mengikut undang-undang juga, saya tiada masalah dengan perhimpunan yang bakal diadakan sebagaimana saya tiada masalah dengan Bersih 4.0 tempoh hari.
Walaupun layanan berbeza diberikan oleh Ketua Polis Negara terhadap perhimpunan 16 September ini berbanding Bersih 4.0 yang lalu, secara prinsipnya kita tidak boleh menzalimi orang lain hanya kerana orang lain menzalimi kita kerana dalam Islam sendiri pun, respons tersebut hanya menjauhkan orang daripada hidayah dan mesej kebaikan yang sebenar.
Tetapi apa yang lebih mendukacitakan ialah mesej-mesej yang dibawa menjelang perhimpunan tersebut; mesej-mesej defensif Melayu yang menyalahkan kaum lain atas kelemahan ekonomi dan status sosial dan mesej-mesej menghasut seolah-olah ada suatu kaum yang akan mahu membatalkan dominasi Melayu-Islam di Malaysia ini.
Apa yang Melayu perlu fokus?
Pernahkah kaum Melayu ini sedar walau betapa banyak tindakan defensif yang dilakukan, tindakan ini tidaklah mengubah status sosioekonomi mereka?
Malah dalam kebanyakan keadaan, sebab-sebab yang dilaungkan kebanyakannya hanyalah satu retorik responsif dan disebabkan emosi berbanding fakta.
Dalam ekonomi contohnya, mungkin benar ramai Cina yang memiliki syarikat swasta. Tetapi dalam tindakan kerajaan sendiri sebagaimana ramai maklum, mereka hanya mengayakan sebahagian kroni mereka dan jarang mengadakan tender adil menyebabkan hanya sesetengah Melayu sahaja kaya.
Lebih menyedihkan, apabila disuarakan hal sebegini, mereka katakan pula “Apa salahnya Melayu kaya? Mereka juga yang akan membantu dan banyak menderma!” Kesilapan dalam menilai kes ini menyebabkan kita kabur lalu menyalahkan orang lain berbanding melihat diri sendiri.
Dalam dominasi politik, memang benar lebih ramai Cina kini menyokong DAP berbanding MCA, Gerakan dan parti-parti komponen dalam Barisan Nasional. Tetapi adakah ini bukti mereka mahu mengalahkan orang Melayu? Adakah hanya kerana mereka bukan MCA yang bersama UMNO mereka melawan Melayu? Sejak bila pula UMNO itu kita panggil Melayu dan Melayu itu kita panggil UMNO?
Hakikatnya Melayu telah tertipu maka mereka akhirnya ramai mengundi UMNO. Akhirnya, terjadilah pembahagian politik mengikut kaum sebagaimana terjadi sekarang dalam keadaan Melayu menyokong UMNO dan Cina menyokong DAP.
Bukanlah untuk melakukan generalisasi liar, tetapi inilah yang berlaku amnya.
Cuma malang sekali, apa yang Melayu enggan lihat ialah bagaimana kerusi untuk dipertandingkan dibahagikan dalam BN dan Pakatan. Hakikatnya, DAP mendapat bilangan kerusi paling sedikit untuk dipertandingkan manakala Pas mendapat paling banyak, malah mungkin lebih banyak daripada UMNO.
Jika semua mengundi Pas dan PKR pada PRU lalu, tidakkah Melayu yang akan menjadi majoriti dalam Parlimen dalam pakatan pembangkang (atau kerajaan, jika mereka menang)?
Malah jika benar sekali pun DAP ingin menghapuskan Perkara 153, dengan senario Melayu menyokong Pas dan Pas (serta PKR) menjadi majoriti, apakah ahli Parlimen mereka dengan sewenang-wenangnya mahu meluluskan usul tersebut tanpa rancangan ampuh untuk memastikan jurang ekonomi antara kaum kurang terjejas?
Sebagaimana kita tahu lagi, majoriti 2/3 parlimen kini hampir mustahil dan jika usul seperti di atas dan usul memansuhkan perkara yang menjamin Melayu menjadi Perdana Menteri dibawa, apakah jaminan ahli Parlimen UMNO akan menyokong mencukupkan 2/3 undi sebagai syarat pemindaan perlembagaan?
Andai Melayu sedar logik ini, mereka akan menyedari juga bahawa propaganda “Melayu terancam” dan mentaliti mangsa ini hanyalah untuk mengekalkan hegemoni satu parti politik dan bukannya menyelamatkan orang Melayu.
Jika benar mereka mahu menyelamatkan orang Melayu, mengapa usaha-usaha yang dimulakan oleh Tun Abdul Razak yang bersifat mengutamakan rakyat terhenti dan usaha mengayakan kroni pula yang diperkasa?
Oh tidak, ‘pun’ di atas hanyalah kebetulan.
Apa yang lebih penting ialah Melayu perlu pandai membezakan pihak Melayu yang benar-benar mahu membantu golongan Melayu dengan pihak yang hanya memperguna sentimen Melayu untuk kekal berkuasa untuk diri sendiri.
Bangga jadi Melayu
Ya, saya bukan anti Melayu. Malah saya bangga menjadi Melayu. Jika punya anak nanti, saya ingin menamakan anak saya dengan nama-nama seperti “Tuah” dan “Melati” berbanding nama-nama Arab. Saya juga lebih gemar memakai baju Melayu pada Hari Raya berbanding jubah (walaupun saya tiada masalah orang berjubah). Tetapi ini tidak bermaksud saya suka diperbodohkan berterusan.
Banyak sebenarnya agensi yang memang benar-benar mahu membantu Melayu tanpa mempermainkan sentimen. Antaranya ialah Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu Berhad (MTEM). Mereka benar-benar melakukan usaha untuk mengurangkan jurang ekonomi yang menjadi faktor penting perpaduan nasional.
Akhir sekali, buat semua Melayu, silakan berdemo. Hak anda sebagai rakyat dalam negara demokrasi ini terjamin malah Ketua Polis pun kata tiada masalah.
Tapi dalam kita mengata orang Melayu dipergunakan, jangan lupa tanya diri sendiri, “Adakah aku diperguna juga?”

:dipetik dan diubahsuai dari lebai google.

Tiada ulasan:

Tak Kaya Tak Papa Kedana

Soalan: Saya sebelum ini menganggur beberapa bulan. Sekarang baru dapat kerja. Tapi gaji tak sama macam dulu. Sekadar cukup untuk nafkahi is...