Ahad, 17 April 2022

Tazkirah dan Talkin

[Kenapa Saya Memberi Tazkirah Di Kubur Ayah Dr Maza?]

1. Beberapa hari lalu, saya ada memberikan tazkirah setelah ayah kepada sahabat saya Dr Maza dikebumikan. Kemudian ada yang bertanya apa perbezaan di antara tazkirah dan talkin. Apa dalil berkaitan tazkirah ini. 

2. Tazkirah dan talkin mempunyai perbezaan. Talkin terbahagi kedua dua:

i. Talkin: Mengajar orang yang sedang nazak mengucapkan dua kalimah syahadah. Ini sunnah.
ii. Talkin: Mengajar mayat setelah dikebumikan tentang soalan kubur. Ini adalah masalah khilafiah dan saya cenderung kepada pandangan yang mengatakan ia tidak sahih iaitu sebahagian Hanbali dan satu pandangan dalam mazhab Maliki.

Walau bagaimanapun, saya menghormati orang yang mengamalkannya kerana ini adalah isu khilafiah.

Talkin setelah kematian adalah untuk mengajar mayat dalam kubur menjawab soalan malaikat. Hal ini kerana mayat di dalam kubur mendengar apa yang diberitahu oleh orang yang berbicara di atas. 

Talkin bukanlah mengajar kepada orang yang hidup semata-mata seperti yang kita fahami. Para ulamak membezakan antara masalah talkin mayat  (تلقين الميت) dan masalah memberikan nasihat (الموعظة) di perkuburan setelah pengebumian. 

Sebab itu ia disebutkan sebagai تلقين الميت (mentalkin mayat), bukan talkin kepada hadirin yang hadir di sekeliling walaupun orang yang hadir juga mendengar dan mengambil manfaat daripada ucapan pembaca talkin.

3. Adapun berkaitan tazkirah, ia untuk peringatan kepada orang yang masih hidup. Rasulullah pernah memberi peringatan kepada sahabat sewaktu majlis pengebumian di tanah perkuburan. 

Imam Bukhari ada meletakkan satu bab dalam sahihnya:

باب موعظة المحدث عند القبر، وقعود أصحابه حوله

"Bab seseorang muhaddith memberi peringatan nasihat di kubur dan rakan-rakannya duduk di sekelilingnya" 

Setelah itu Imam Bukhari meletakkan sebuah hadis yang panjang. Hadis tersebut juga ada diriwayatkan oleh Imam Muslim. 

Lafaz di bawah adalah lafaz Muslim yang lebih ringkas. 

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ذَاتَ يَوْمٍ جَالِسًا وَفِي يَدِهِ عُودٌ يَنْكُتُ بِهِ فَرَفَعَ رَأْسَهُ فَقَالَ: مَا مِنْكُمْ مِنْ نَفْسٍ إِلاَّ وَقَدْ عُلِمَ مَنْزِلُهَا مِنَ الْجَنَّةِ وَالنَّارِ .‏ قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ فَلِمَ نَعْمَلُ أَفَلاَ نَتَّكِلُ قَالَ: لاَ اعْمَلُوا فَكُلٌّ مُيَسَّرٌ لِمَا خُلِقَ لهَ  ‏

Pada suatu hari Rasulullah pernah duduk dan pada tangannya terdapat sebatang kayu lalu baginda mencucuknya (di tanah). Kemudian baginda mengangkat kepalanya lalu berbicara. 

Rasulullah berkata: 

‘’Tidak ada seorangpun daripada kalangan kamu iaitu daripada jiwa yang bernyawa, melainkan telah ditulis akan kedudukannya di syurga atau neraka"

Mereka (sahabat) bertanya: 

“Wahai Rasulullah, jika begitu mengapa kita perlu beramal dan mengapa kita tunggu menunggu berserah saja? 

Rasulullah bersabda:

‘’ Tidak, beramallah kerana semua orang akan dipermudahkan untuk melakukan seperti mana tempat yang telah ditetapkan untuknya"

[Riwayat Muslim 6903] 

Dalam lafaz yang lain disebutkan peristiwa ini berlaku ketika pengebumian jenazah di Baqi' al-Gharqad. Teks hadis ini dalam Sahih Bukhari nasihat Rasulullah lebih panjang daripada matan di atas. 

4. Ramai para ahli ilmu mensyarahkan hadis tersebut. Antaranya adalah Imam Ibn Battal dalam Syarahnya kepada Sahih al-Bukhari. 

Ibn Battal (449H) berkata:

فيه جواز القعود عند القبور، والتحدث عندها بالعلم والمواعظ

"Pada hadith ini menunjukkan keharusan duduk di kubur dan keharusan untuk berbicara di sisinya berkaitan ilmu atau nasihat"

Tidak ada masalah untuk memberi peringatan dan tazkirah ketika mana setelah majlis pengebumian. 

5. Seterusnya, terdapat juga riwayat yang lain bahawa baginda pernah memberi peringatan kepada sahabat. Antaranya adalah:

كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم إِذَا فَرَغَ مِنْ دَفْنِ الْمَيِّتِ وَقَفَ عَلَيْهِ فَقَالَ اسْتَغْفِرُوا لأَخِيكُمْ وَسَلُوا لَهُ التَّثْبِيتَ فَإِنَّهُ الآنَ يُسْأَلُ

Rasulullah apabila selesai  dari pengebumian jenazah, baginda berdiri kemudian bersabda:

"Mintalah pengampunan untuk saudara kamu, dan mintalah kepada Allah supaya dia mendapat ketetapan, sesungguhnya dia (jenazah) sekarang ini sedang disoal" 

[Riwayat Abu Daud] 

6. Memberi tazkirah peringatan setelah pengebumian memang terdapat daripada amalan Rasulullah dan terdapat para ahli ilmu yang mensyarahkan hadis berkaitan bab ini membenarkannya. 

Cuma, terdapat sedikit perbahasan adakah ia boleh dilakukan secara berterusan ataupun sebaliknya. 

7. Kematian itu mengejar insan dalam kehidupan ini. Kita tidak tahu bila dan di mana ia akan menemui kita. Perkara yang perlu kita lakukan adalah mengingati akan kematian dan bersedia untuk melakukannya. Setiap kali kita menunaikan solat, anggaplah seperti itu solat terakhir yang kita lakukan sebelum ditarik nyawa oleh malaikat maut sejurus setelah memberi salam. 

Pada suatu hari, Rasulullah ditanya:

قَالَ فَأَىُّ الْمُؤْمِنِينَ أَكْيَسُ قَالَ : « أَكْثَرُهُمْ لِلْمَوْتِ ذِكْرًا
وَأَحْسَنُهُمْ لِمَا بَعْدَهُ اسْتِعْدَادًا أُولَئِكَ الأَكْيَاسُ

Mukmin manakah yang paling cerdas?”

Baginda bersabda: 

“Yang paling banyak mengingati kematian dan yang paling baik dalam mempersiapkan diri untuk alam berikutnya, itulah mereka orang yang paling cerdas.” 

[Riwayat Ibnu Majah, Hasan]

Dr Rozaimi Ramle

Tiada ulasan:

Pengurusan Jenazah Percuma

Pengurusan Jenazah PERCUMA Ada, Kenapa Pilih Yang Berbayar? Duit yang ada, boleh simpan. Selesaikan hutang Si Mati . Simpan untuk kegunaan i...