Sekurang-kurangnya dua hal menyatukan golongan yang ingin mengangkat Islam sebagai dasar kehidupan. Pertama, cita. Kedua, cinta. Cita dan cinta kita semua kembali kepada Islam.
Dua hal tersebut menjadikan semua gerakan Islam dan tokoh-tokoh pro Islam sama dalam impian dan jiwa kasih mereka. Kedua-duanya hal itu adalah pegangan dan falsafah hidup mereka. Jika hilang dua perkara tersebut, hilanglah identiti mereka.
Dua perkara itu sentiasa menyatukan golongan pembela Islam di mana sahaja mereka berada. Malangnya, mereka sering lupa persamaan itu kerana kadangkala disibukkan dengan perbezaan antara mereka. Padahal yang membedakan itu hanya 'tafsiran dan cara' dalam menunaikan 'Cita dan Cinta' tadi. Cita dan cinta adalah ghayah (matlamat) yang hendak dicapai. Tafsiran dan cara hanyalah wasilah.
Kita boleh berbeza pada tafsiran dan cara dengan adab-adabnya. Kita boleh membahaskan itu semua dengan ilmiah dan hujah. Namun jangan lupa, itu semua adalah wasilah bukan ghayah. Justeru, jikapun kita berbeda pada tafsiran dan cara, janganlah kita lupa kita masih bersama dalam hal yang lebih utama dan besar iaitu cita dan cinta. Di samping, perbedaan cara dan tafsiran itu pun kadangkala tidaklah begitu besar.
Apabila disingkap, seringkali juga kita akhirnya melihat perbezaan kita hanyalah pada bahasa, pemilihan istilah dan kata-kata, atau berbeza dalam menafsirkan sesuatu realiti yang dihadapi. Apabila semua kekaburan hilang, apa yang kita dapat lihat ialah cita dan cinta yang sama. Itupun jika kita semua ikhlas kerana Allah dalam perjuangan ini.
Maka, apabila sampai saat yang diperlukan, kita semua boleh bertasamuh dalam cara dan tafsiran demi mempertahankan cita dan cinta kita bersama.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan