Jumaat, 18 Disember 2020

subuh

🕌 Tips Istiqamah Solat Subuh Berjemaah Di Masjid

Saya pernah bertemu dengan seorang sahabat yang saya kenali tidak pernah tinggal solat subuh berjemaah di masjid setiap hari bertahun-tahun sejak dia tahu ganjaran besar yang ada pada amalan mulia ini, melainkan masa dia bermusafir.

Alhamdulillah, antara tips dan nasihat yang beliau kongsikan:

1.    Kenali musuh utama yang menghalang kita dari bangun tidur untuk solat subuh, iaitu Syaitan yang dilaknat. Jangan lupa Nabi SAW ada beritahu, Syaitan kencing kat telinga orang yang tidur sampai terlepas Subuh [riwayat Muslim].
Jadi kalau kita nak menjayakan amalan ini, kita kena halang Syaitan dari mengganggu tidur kita, iaitu dengan membaca ayat al-Kursi sebelum tidur.
Nabi SAW pernah pesan: “Apabila kamu naik tempat tidurmu, bacalah ayat al-Kursi, nescaya kamu akan disertai penjaga dari Allah dan syaitan tidak akan dapat mendekati dirimu” [riwayat al-Bukhari].
Jangan lupa juga untuk baca doa atau zikir seperti zikir petang yang menjadi ‘ejen’ pelindung kita. Lepas itu boleh tidur dan kita akan rasa tidur kita itu sangat aman dari gangguan yang menyukarkan kita untuk bangun.
Percayalah, kalau Syaitan tak ganggu, walaupun kita cuma sempat tidur 2 jam sahaja pun, kita tetap boleh bangun tanpa masalah!

2.    Biasanya ramai yang suka berlengah ke masjid sampai dah azan kan? Lepas ni cuba istiqamah untuk pergi awal ke masjid sebelum azan supaya dapat solat sunat Fajar yang sangat besar pahalanya.
Nabi SAW ada sebut: “Dua rakaat sebelum fajar (solat sunat Subuh) lebih baik daripada dunia dan seisinya” [riwayat Muslim].
Ferrari dan harta bertimbun pun tak boleh lawan ganjaran ni tau!

3.    Nak istiqamah pergi awal ke masjid dan solat subuh berjemaah bukan mudah, kena ada kesabaran yang sangat tinggi. Tapi itulah, bukan murah nak dapat syurga Allah kan?
Bila Allah sebut ganjaran syurga yang begitu indah, Allah beritahu semua itu untuk:
الصَّابِرِينَ وَالصَّادِقِينَ وَالْقَانِتِينَ وَالْمُنْفِقِينَ وَالْمُسْتَغْفِرِينَ بِالْأَسْحَار
“Orang-orang yang sabar, yang jujur, yang tetap taat, yang menafkahkan hartanya (di jalan Allah) dan yang memohon ampun di waktu sahur (awal pagi)” [Ali-Imran: 17].

4.    Kita perlukan lebih kurang 10 minit untuk beristighfar sebelum subuh. Jadi bila kita bangun awal, kita boleh istighfar sambil memandu atau berjalan kaki ke masjid. Sebenarnya dalam tempoh tu kita boleh dapat beristighfar lebih 100 kali paling kurang dan kita akan rasa segar dan bersemangat!
Tapi pada yang nak ganjaran bonus, boleh cuba bangun lebih awal untuk solat malam atau solat witir walau barang seketika.
“Dan pada sebahagian malam hari, (bangunlah) bersolat Tahajjud sebagai suatu ibadat tambahan bagimu. Mudah-mudahan Tuhan-mu mengangkatmu ke suatu kedudukan yang terpuji” [al-Isra’: 79].

5.    Selepas solat sunat Fajar, kita akan bersama menunaikan jemaah Subuh yang tidak terbayang besar ganjarannya sampai Nabi SAW bagitahu manusia akan sanggup merangkak kalau tahu apa yang Allah akan bagi. 
Bayangkan jika dua rakaat sebelum Subuh pun Allah kurniakan ganjaran yang lebih besar dari seisi dunia, apatah lagi solat Subuh yang wajib, pasti lebih besar dari itu buat hamba-Nya yang beriman.
Lebih-lebih lagi kita ni bukan jenis yang rajin bangun malam (qiyamul layl), jadi solat Subuh berjemaah ni boleh jadi gantinya tau.
Nabi SAW bersabda: “Orang yang ikut solat Isyak (berjemaah) seolah-olah telah solat setengah malam. Manakala orang yang ikut solat subuh (berjemaah), seolah-olah dia telah melaksanakan solat sepanjang malam (qiyamullail)” [riwayat Muslim].

6.    Sekarang ni musim cuti sekolah yang ramai pergi menunaikan umrah kan? Bayangkan kita juga boleh dapatkan ganjaran seumpama itu dengan hanya meluangkan sedikit masa selepas Subuh tanpa perlu beli tiket kapal terbang dan ambil cuti lama!
Jom dengar apa kata Nabi SAW ini: “Sesiapa yang solat Subuh berjemaah, kemudian duduk berzikir mengingati Allah sehingga naik matahari, lalu mengerjakan solat dua rakaat, maka baginya pahala seperti pahala haji dan umrah yang sempurna, sempurna, sempurna!”  (riwayat al-Tirmidzi & al-Tabrani dengan beberapa kritikan pada sanadnya).
Lepas subuh tu sebenarnya masa yang terbaik kita nak buat zikir pagi dan membaca sedikit al-Quran.

7.    Okey, malas nak duduk lama? Boleh baca zikir ni:
سُبْحَانَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ، عَدَدَ خَلْقِهِ، وَرِضَا نَفْسِهِ، وَزِنَةَ عَرْشِهِ، وَمِدَادَ كَلِمَاتِهِ
“Maha suci Allah dengan segala puji bagi-Nya, sebanyak hitungan makhluk-Nya, menurut keredhaan-Nya, menurut kebesaran ‘Arasy-Nya dan sebanyak paparan kalimah-Nya” [riwayat Muslim].
Nabi SAW beritahu, kalau kita ucapkan zikir ini tiga kali di waktu pagi, ia akan menyamai zikir-zikir sepanjang pagi.

Bayangkan betapa Maha Pemurahnya Allah yang beri kita banyak peluang dan ganti. Tapi apapun terpulang pada diri kita sama ada nak beriman dan nak rebut peluang jadi kaya di akhirat.
Kalau dah tahu, jom mula dari malam ni dan esok pagi!

-Dr. Kamilin Jamilin-

Tiada ulasan:

Pengurusan Jenazah Percuma

Pengurusan Jenazah PERCUMA Ada, Kenapa Pilih Yang Berbayar? Duit yang ada, boleh simpan. Selesaikan hutang Si Mati . Simpan untuk kegunaan i...