Selasa, 26 Mei 2020

LAKSA

Teringin nak makan laksa utara tapi tak reti nak buat sendiri? Jangan risau saya akan ceritakan cara-caranya dan anda boleh masak sendiri di rumah.

1. Beli ikan temenung (kembung) atau ikan selayang (sardin). Untuk permulaan cukuplah dalam sekilo. Dan pastikan matanya tidak merah seperti orang hisap ganja. 

2. Jangan lupa juga beli laksa kering cap Eka, bawang kecil (bawang merah, lada kering, belacan dan asam gelugor (asam keping) dan daun kesum tepi telaga orang maksum masuk syurga.

3. Ikan tadi harus dipersiang (siang) dulu, buang isi perutnya dan cuci sebersihnya sebanyak 3 kali. Basuhan kali ketiga pastikan baca selawat nabi bagi memastikan berkat dan suci.

4. Rebus ikan tadi bersama 3 keping asam gelugur hingga masak secukupnya. Toskan dan simpan air rebusan tadi. Rebuskan juga cili kering yang telah dibuang bijinya.

5. Perisi (asingkan isi dari tulang) ikan tadi dan pastikan semua tulang tidak bercampur dengan isi jika tidak mahu tulang tersekat di tekak.

6. Blender adalah satu-satunya alatan elektronik yang diperlukan dalam proses pembuatan kuah laksa, kalau tak ada blender cuba beli kat kedai Seng Heng boleh bayar ansuran. Jika tak mampu boleh pinjam kat rumah jiran, kalau jiran kedekut, tumbuk pakai lesung batu atau giling dengan batu giling.

7. Kisar isi ikan hingga hancur sepenuhnya. Keluarkannya dari blender dan masukkan pula 8/13 bawang kecil (pastikan dibuang kulit nipisnya), lada kering dan belacan, kisar hingga hancur lebur, keluarkannya. Masukkan tulang belulang ikan bersama kepalanya sekali, kisar bersama air rebusan tadi hingga hancur berkecai. Ambil airnya sahaja, tulang belulang harus dibuang.

8. Hidupkan dapur gas, kalau tak ada dapur gas boleh guna dapur karan, dapur minyak atau cari kayu kering dan bata rumah jiran yang sedang ubahsuai rumahnya itu untuk diy dapur kayu (api).

9. Panaskan periuk dan masukkan air rebusan ikan, isi ikan, cili kering, bawang kecil dan belacan yang telah dikisar tadi.

10. Masukkan 8 keping asam gelugur dan segenggam daun kesum, 1 sudu teh garam dan gula putih. Jika dipasar tadi ada bunga kantan boleh beli dan masukkan sekali kalau tiada tak apa tak yah guna sebab rumah jiran tak ada tanam. Lagipun bunga kantan akan buatkan perut kembung berangin.

11. Tunggu hingga masak. Jika mahu lebih rasa masan tambahkan lagi asam gelugor sehingga secukup masam. Jika dah cukup masamnya keluarkan asam gelugor tadi dari periuk.

12. Panaskan pula air untuk merebus laksa kering, pastikan laksa kering tadi direndam beberapa jam (semalaman lagi ok) bersama beberapa keping asam gelugor (untuk memastikan laksa tadi putih bersih, bukannya kekuningan). Rebus laksa sehingga lemah dan lembut.

13. Cadangan hiasan, beli juga daun cylon, timun, bawang besar dan telur itik. Jika tiada telur itik boleh guna telur ayam dan pastikan jangan guna telur sendiri.

14. Rebus telur tadi hingga masak dan kopek kulitnya. Hiris bawang besar, timun dan daun cylon. 

15. Masukkan laksa ke dalam pinggan, letakkan hirisan bawang besar, timun, daun cylon dan telur yang dibelah dua di atas laksa. Curahkan kuah di atasnya.

16. Untuk menambah rasa boleh juga letakkan limau nipis ataupun kasturi (kalau lupa beli petik kat belakang rumah jiran), kicap atau otak udang. Jika suka pedas tambahkan cabai melaka yang dirincik-rincik.

17. Rasanya itu saja. Selamat mencuba anda tak akan sesal dulu tiada guna-nya.
Kredit Namron

Tiada ulasan:

Pengurusan Jenazah Percuma

Pengurusan Jenazah PERCUMA Ada, Kenapa Pilih Yang Berbayar? Duit yang ada, boleh simpan. Selesaikan hutang Si Mati . Simpan untuk kegunaan i...