Jumaat, 25 Mei 2018

KEMANISAN DALAM UJIAN

KEMANISAN DALAM UJIAN
Prof Madya Dato' Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Nabi Musa a.s lari meninggalkan Mesir setelah beliau terlibat dengan kejadian memukul sehingga mati seorang Qibti (Coptic) dalam usaha menghalang kezaliman perkauman terhadap Bani Israil. Tindakannya itu telah melebihi jangkaan dan itu satu kesilapan. Beliau terpaksa lari menuju ke Madyan dalam keadaan yang susah. Madyan yang dimaksudkan itu barangkali di Jordan dan saya pernah sampai berkali-kali di sana. Perjalanan dari Mesir ke sana begitu jauh. Apatahlagi di zaman tersebut. Tujuannya bagi memastikan tentera Firaun tidak sampai ke sana tersebut untuk menangkapnya.

Apabila sampai di Madyan, Musa a.s. mendapati sekumpulan pengembala yang sedang menceduk air, sementara di sana ada dua gadis yang hanya menunggu. Jiwa Musa a.s yang amat pantang melihat kejanggalan atau unsur ketidakadilan itu menyebabkan dia yang dalam keletihan yang teramat bertanya kepada kedua gadis tersebut. Al-Quran menceritakan kejadian ini:

(maksudnya) “Dan setelah dia (Musa a.s.) menuju ke negeri Madyan, dia berdoa "Mudah-mudahan Tuhanku menunjukkan kepadaku jalan yang betul". Dan ketika dia sampai di telaga air Madyan, dia dapati di situ sekumpulan lelaki sedang memberi minum (binatang ternak masing-masing), dan dia juga dapati di sebelah mereka dua perempuan yang sedang menahan kambing-kambingnya. Dia bertanya: "Apa hal kamu berdua?" mereka menjawab: "Kami tidak memberi minum (kambing-kambing kami) sehingga pengembala-pengembala itu membawa balik binatang ternak masing-masing; dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya ". (Surah al-Qasas 22-23).

Nabi Musa a.s. tidak mampu melihat unsur penindasan dan sikap tidak mahu membantu yang lemah. Simpatinya terhadap dua gadis tersebut melebihi  keletihan yang dihadapinya ketika. Dia tampil dengan segala keringat yang berbaki menolong gadis-gadis tersebut mendapatkan air. Dia menolong tanpa sebarang habuan yang diharapkan. Setelah menolong mereka, dan mereka pun pulang, Nabi Musa a.s. dalam keadaan yang teramat letih itu, pergi ke tempat yang teduh dan berdoa dengan doa yang ringkas tetapi amat dalam maksudnya. Saya tidak pasti sama ada mereka yang tidak memahami bahasa arab dapat menikmati keindahan ungkapan yang ringkas itu atau pun tidak? Namun saya akan cuba menterjemahnya dalam strukturnya. Saya ingin membawa doa Musa a.s. ini untuk dikongsi bersama para pembaca yang barangkali ada yang tidak perasaan kewujudannya ketika membaca al-Quran. Juga mereka yang memang sudah tahu tetapi terlupa disebabkan kesibukan yang melanda dalam kehidupan sedangkan kita menghadapi suasana tenat yang amat memerlukan rahmat atau ‘kesian’ Tuhan kepada kita.

Saya ingin menyebutnya di sini kerana doa ini amat menyentuh perasaan saya. Saya percaya anda juga demikian. Entah berapa banyak keadaan getir dan runsing melanda hidup ini, doa ini salah satu ‘penyejuk perasaan’ dan pemberi harapan yang menjadi jambatan yang menghubungkan ujian hidup dengan Tuhan yang memiliki segala kehidupan. Doa ini jika dibaca dengan jiwa yang benar-benar bergantung kepada Allah, maka saya yakin ketenangan itu hadir sebelum pertolongan Allah itu turun. Firman Allah menceritakan hal Musa a.s. dan doanya:

(maksudnya)  “Maka Musa pun memberi minum kepada binatang-binatang ternak mereka, kemudian ia pergi ke tempat teduh lalu berdoa: "Wahai Tuhanku, Sesungguhnya aku ini fakir kepada apa sahaja kebaikan yang Engkau turunkan” (Surah al-Qasas 24).

Saya terjemahkan ungkapan Nabi Musa a.s. di atas secara literal dalam perkataan yang asal iaitu ‘fakir’. Banyak terjemahan al-Quran hanya berdasarkan tafsiran penterjemah, lalu ayat-ayat diterjemahkan bukan berdasar ungkapan asal, tetapi maksud yang difahami oleh penterjemah berkenaan. Dalam banyak keadaan, cara ini telah menafikan kepelbagaian maksud ayat-ayat al-Quran dan menghilangkan keindahannya dalam bahasa arab yang cantik. Dalam ayat di atas, Nabi Musa a.s merintih betapa dirinya fakir kepada apa sahaja kurniaan Tuhan. Jadi, maksud Nabi Musa a.s. beliau amat fakir atau amat memerlukan kepada apa sahaja kebaikan yang akan Allah berikan kepadanya bagi menghadapi suasana dirinya ketika itu.

Dalam bahasa al-Quran yang indah, Allah riwayatkan ucapan Musa a.s  itu dengan berbunyi “Rabbi inni lima anzalta ilaiya min khairin faqir”. Sangat ringkas, namun sangat bermakna. Sudah pasti ucapan asal Musa a.s dalam bahasa Hebrew, namun Allah telah merakamkan ke dalam bahasa Arab yang padat dan indah.

Kebaikan Yang Pelbagai

Ada ahli tafsir yang menyebut maksud Nabi Musa a.s bagi perkataan ‘khair’ atau apa sahaja kebaikan dalam doa ini adalah makanan. Namun, perkataan ‘khair’ atau apa sahaja kebaikan atau kurniaan Tuhan itu amat luas. Bukan sahaja makanan atau minuman, bahkan apa sahaja yang memberikan kebaikan kepada seorang insan. Musa a.s. sendiri selepas berdoa dengan doa ini diberikan limpah kurnia Allah yang berbagai, melebihi jangkaannya. Ayat-ayat seterusnya dalam Surah al-Qasas ini menceritakan bagaimana kedua orang gadis tadi kembali semula menjemput Musa a.s. ke rumah mereka atas jemputan ayah mereka. Ayah mereka yang merupakan seorang yang mulia amat berterima kasih atas pertolongan Musa a.s.

Al-Quran tidak menceritakan siapakah ayah mereka. Apakah dia Nabi Syu’aib atau orang lain tidaklah dapat dipastikan. Kemungkinan besar bukan Nabi Syu’aib seperti yang disangka oleh sebahagian penafsir. Jika tidak masakan penduduk di situ tidak mengendahkan anak-anak gadis bagi seorang nabi yang sudah tua. Apa pun, Nabi Musa a.s. diberikan tempat perlindungan, makanan, kerja, bahkan dikahwinkan dengan salah seorang dari gadis tersebut. Demikian Allah memustajabkan doa Musa yang ringkas, tetapi penuh makna. Doa yang dilafazkan dari jiwa yang benar-benar tunduk, menyerah  sepenuh tawakkal dan keyakinan bahawa Allah sentiasa menyahut permohonan hamba yang benar-benar bergantung kepadaNya.

Hikmah Dari Ujian

Jauh Musa a.s berjalan membawa perasaan bimbang dan bebanan ancaman oleh pihak musuh. Ujian yang memaksa dia yang pernah membesar dalam istana menjadi pelarian tanpa bekalan. Namun dalam ujian itu Nabi Musa a.s mengalami pengalaman hidup yang hebat dan kurniaan-kurniaan yang besar. Tanpa ujian, hal ini tidak akan berlaku. Demikian jika kita membaca doa-doa yang syahdu yang penuh menyentuh akal dan ruh yang dilafazkan oleh insan-insan soleh dalam al-Quran, samada para nabi atau selain mereka, kita dapati doa-doa itu banyak yang diungkapkan dalam keadaan getir dan ujian yang mencabar.

Kita sendiri dalam hidup barangkali tidak akan menghafaz banyak doa al-Quran dan al-Sunnah melainkan setelah kejadian-kejadian dalam hidup yang mendesak untuk kita ‘bertadarru’ atau merendah diri, akur dan tunduk dengan sepenuh jiwa kepada kebesaran kerajaan Allah Yang Maha Menguasai segala urusan hidup ini. Banyak ujian hidup ini sebenarnya amat bermakna jika kita mahu menghayatinya. Betapa ramai orang yang menemui iman dan amalan soleh dek kerana ujian yang menimpanya. Berapa ramai manusia yang bongkak dan takabur bersarang dalam jiwa, tidak dapat ditegur dan dididik, tetapi akhirnya menjadi insan yang tawaduk kepada Allah dan menghargai orang lain setelah melalui ujian hidup yang getir. Betapa ramai pula insan yang soleh dan disayangi Allah dinaikkan darjat dan nilainya di sisi Allah disebabkan ujian yang menimpanya. Firman Allah: 

(maksudnya) Demi sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut, kelaparan, kekurangan dari harta benda dan jiwa serta buah-buahan,  dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu musibah, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu orang dilimpahi dengan pujian dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk.(Surah al-Baqarah 155-157).

Kita tidak meminta ujian, tetapi kita sentiasa perlu tahu bahawa ujian itu adalah rukun hidup. Ujian bagaikan bicara atau ‘sapaan’ Allah kepada kita agar kita ingat apa yang lupa, ubah apa yang salah, atau untuk kita tambahkan pahala dan padamkan dosa. Sabda Nabi s.a.w:
مَا مِنْ شَىْءٍ يُصِيبُ الْمُؤْمِنَ حَتَّى الشَّوْكَةِ تُصِيبُهُ إِلاَّ كَتَبَ اللَّهُ لَهُ بِهَا حَسَنَةً أَوْ حُطَّتْ عَنْهُ بِهَا خَطِيئَةٌ
“Tiada apa pun yang menimpa seorang mukmin, sehingga duri yang mengenainya, melainkan Allah tuliskan untuknya kebaikan (pahala) dan padam dari kejahatan (dosa)” (Riwayat Muslim).

Melihat manusia yang diuji menjadikan kita rendah diri dan insaf. Mungkin dia yang dilihat oleh orang lain sedang dalam ketenatan cabaran tetapi sebenarnya sedang tenggelam dalam rahmat dan kasih sayang Tuhan. Melihat orang yang susah, mereka yang dizalimi, mereka yang kesempitan atau menderita kesakitan menyebabkan kita terlintas segera dalam perasaan “dia di sisi Allah mungkin lebih baik daripada diriku ini”. Kita semua akan melalui ‘bicara dan didikan Tuhan’ melalui pentas ujian. Kita mengharapkan ujian akan membawa kita kepada sesuatu yang lebih baik. Ujianlah yang telah membawa Musa a.s. kepada berbagi kurniaan. Demikian juga kita harapkan untuk diri kita yang hina. Untuk itu kita wajar selalu merintih kepada Allah seperti Musa a.s.: “Rabbi inni lima anzalta ilaiya min khairin faqir” ("Wahai Tuhanku, Sesungguhnya aku ini fakir kepada apa sahaja kebaikan yang Engkau turunkan”).

Tiada ulasan:

Pengurusan Jenazah Percuma

Pengurusan Jenazah PERCUMA Ada, Kenapa Pilih Yang Berbayar? Duit yang ada, boleh simpan. Selesaikan hutang Si Mati . Simpan untuk kegunaan i...