Khamis, 19 Oktober 2017

Dari Dhaka, Bangladesh

Serah Saja Pada Allah

Setiap kita dalam hidup ini, kadang-kala berhadapan dengan orang yang memusuhi, menzalimi dan menyakiti diri kita. Dia mencerca, memaki dan memfitnah dengan segala tuduhan jahat. Menuduh dan merekayasa cerita supaya orang lain membenci kita. Apatahlagi apabila dia berpakat dengan pihak lain dan ada yang termakan dengan rancangan jahatnya.

Namun, jika kita serah perbuatannya kepada Allah, mengadu kepadaNYA bahawa kita dizalimi serta tiada daya upaya lagi, maka Allah suatu hari akan menyahut doa itu. Walaupun kadang-kala kita tertanya-tanya bagaimana dan bila, namun waktunya akan tetap tiba.

Apabila tiba waktu kemustajaban doa, kita melihat tindakan Allah itu Maha Luar Biasa. Segala rancangan jahat buruk itu akan kembali kepadanya sendiri. Kadang-kala dengan jalan yang tiada siapa sangka dan jangka. Kadang-kala seperti mana yang dia rancang ke atas orang yang dia zalimi, perkara itu kembali kepada dirinya dengan lebih dahsyat lagi. Tanpa perancangan dan konspirasi siapa pun,  tetapi hanya kerana rintahan kita 'Ya Allah! KepadaMU jua daku serahkan kezaliman si fulan'.

Jika dahulu dia menuduh kita dengan perkataan buruk seperti jahat, bodoh, pengganas, perosak dan seumpamanya, tidak mustahil akan kembalikan semua ungkapan itu kepadanya. Jika dahulu dia cuba mengganggu dan menghalang kita dengan pelbagai rancangan dan tohmahan, tidak mustahil semua halangan dan tohmahan itu menimpa dirinya. Kepada Allah jua insan berserah.

Maka, setiap kita yang dizalimi, jangan berhenti mengadu kepada Allah. Walaupun orang ramai menyangka mustahil si penzalim itu dijatuhkan, namun kehendak Allah mengatasi segalanya. Kesabaran dan doa adalah benteng dan senjata kehidupan. Doakan adalah anak panah yang akan mengenai sasaran apabila tiba kemustajaban.

Apabila kemustajaban itu tiba, hendaklah dengan rendah hati dan penuh perasaan hina di hadapan Allah merasai bahawa tiada sama sekali kelebihan kita, melainkan rahmat Allah jua yang kasihan kepada kita. Bukan kerana kita terbaik, ataupun hambaNYA yang soleh, namun kita ini hanyalah hambaNYA yang dizalimi. Doa orang yang dizalimi itu mustajab.

Kita juga percaya suatu hari, Allah akan menzahirkan balasanNYA kepada para pemimpin dan rakyat Myanmar yang teramat-amat zalim.

Dhaka,  Bangladesh.
Dr.Maza.

Tiada ulasan:

Awak Terlalu Baik Untuk Saya

Dalam gambar ini, okay kita kenal Ricardo Kaka, pemenang Balon d’Or sebelum era dominasi Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo. Perempuan sebel...