Isnin, 1 Jun 2015

NASIHAT ORANG GILA - Ulasan novel Pak Sako 'Anak Mat Lela Gila'



NASIHAT ORANG GILA - Ulasan novel Pak Sako 'Anak Mat Lela Gila'

RAMAI yang sedia maklum bahawa negeri Pahang menyimpan khazanah sejarah yang tidak terperi banyaknya. Kemunculan pahlawan-pahlawan Melayu pada abad ke-19 seperti Tok Gajah, Dato’ Bahaman dan Mat Kilau menentang penjajahan Inggeris telah menjadikan negeri itu kelihatan lebih bermaruah.

Ishak Haji Muhammad atau Pak Sako adalah anak jati Pahang. Walaupun berlatarkan pendidikan Inggeris – Sekolah Inggeris Clifford Kuala Lipis dan Maktab Melayu Kuala Kangsar, malah beliau pernah berkhidmat dengan ‘kerajaan’ Inggeris sebagai majistret, namun semangat Melayu merdeka tetap bernafas di dalam jiwanya dan beliau seperti dititipkan amanah oleh pejuang-pejuang kemerdekaan sebelumnya.

Pak Sako tidak berjuang dengan mengangkat senjata seperti sahabat-sahabatnya iaitu Ustaz Rashid Maidin, Abdullah CD, Shamsiah Fakeh dan ramai lagi; di mana mereka telah diberi tanah oleh Sultan di dalam hutan Pahang sebagai pusat latihan ketenteraan yang dinamakan sebagai Rejimen Ke-10. Pak Sako diberi peranan untuk berjuang di atas kertas: sebagai wartawan, pengarang dan memimpin parti politik bersama-sama Ahmad Boestamam, Ibrahim Ya’akob, Burhanuddin al-Helmi dan A. Samad Ismail yang berpusat di bandar-bandar besar seperti Taiping, Kuala Lumpur dan Singapura.

Diintip, disiasat bahkan dipenjarakan seperti tidak lut pada susuk tubuh pengarang besar ini. Sama ada Inggeris atau Jepun, Pak Sako tetap konkrit dengan pegangan dan pendiriannya iaitu Melayu merdeka. Dua buah novel utamanya yang avant-garde berjudulPutera Gunung Tahan dan Anak Mat Lela Gila ditamsilkan sebagai kitab peniup semangat bangsa Melayu supaya menentang sebarang penjajahan, hidup merdeka dan berdikari.

Siapa Mat Lela?

DIA adalah lambang inteligent bangsa Melayu. Peranannya tentu sekali tidak disebut dalam mana-mana buku sejarah kerana Mat Lela adalah rahsia besar pejuang-pejuang Melayu menentang Inggeris. Hanya sebenar-benar pejuang sahaja yang memegang rahsia ini. Mungkin ada sebabnya mengapa novel Anak Mat Lela Gila ini dicetak buat pertama kali pada tahun 1960, yakni tiga tahun setelah Malaya merdeka.

Mungkin Pak Sako tidak mahu dedahkan nama ini seawal dia menulis Putera Gunung Tahan kerana waktu itu Malaya masih dalam pergelutan menuntut kemerdekaan. Pak Sako tidak mahu peranan Mat Lela ini dihidu oleh pihak Inggeris atau Jepun atas alasan rahsia perjuangan.

Pun begitu, dalam novel Anak Mat Lela Gila, Pak Sako tidak menyatakan secara terang-terangan melainkan meminjam nama dan perwatakannya sahaja. Mungkin ini caranya Pak Sako mengenang jasa dan menghargai perjuangan serta pengorbanan Mat Lela.

Seperti premis dan plot novel-novelnya, Pak Sako mahu bangsa Melayu sedar bahawa Melayu itu bukanlah bangsa yang bodoh. Dengan menggunakan nama Mat Lela dalam novel ini, harapannya bahawa bangsa Melayu ini menghargai sejarah perjuangan, bahkan bangga menjadi Melayu merdeka.

Mat Lela atau nama penuhnya Mat Lela bin Imam Rasu merupakan anak kepada Tok Gajah dan adik kepada Mat Kilau. Sewaktu Mat Kilau dan pejuang-pejuang lain diburu Inggeris dan mereka terpaksa bersembunyi di hutan Pahang, Mat Lela telah ditugaskan sebagai agen pemberi maklumat: mengikuti perkembangan tentera Inggeris lalu segera disampaikan kepada abangnya yang merancang strategi perang di dalam hutan.

Mat Lela berperanan sebagai orang gila (taktik ini kini biasa digunakan oleh mata-mata Cawangan Khas dan juga agen-agen C.I.A atau K.G.B). Maka itu Mat Lela digelar sebagai ‘Mat Lela Gila’. Pada ketika itu, orang gila dibiarkan hidup bebas, keluar masuk hutan tanpa ada sekatan. Sedangkan Inggeris tidak mengesyaki bahawa itu adalah taktik pejuang-pejuang Melayu.

Oleh sebab itu, Pak Sako mengkisahkan perwatakan Mat Lela pada bab kedua dan ketiga novel ini: GILA, PANDIR DAN SASAU dan INTAN DI PERLEMBAHAN sebagai orang gila tetapi tingkahlaku serta fe’elnya seperti orang bukan sebarangan.

Ini sangat jelas apabila Pak Sako menggambarkan Mat Lela berpesan kepada Bulat yang masih bayi berkenaan ukiran kayu yang menyerupai alat kelamin lelaki:

“Cuba lihat apa bendanya ini engkau pun ada, tetapi kerana engkau masih kecil benar apalah yang engkau tahu, engkau sedar pun tidak. Akan tetapi jaga baik-baik apabila engkau sudah besar pula peliharalah dia dengan cermat. Dalam masa yang akan datang benda ini akan menjadikan orang banyak gila, susah, porak-peranda dan miskin merana. Benda ini harus menimbulkan macam-macam kacau-bilau. Engkau mesti ingat baik-baik.”

Anak Mat Lela Gila

ADALAH sebuah novel yang wajib dibaca oleh bangsa Melayu kerana sesuatu bangsa itu takkan dianggap gah tanpa sastera yang unggul. Maka, karya Pak Sako inilah sastera unggul bangsa Melayu, sama seperti Inggeris dengan kehebatan sastera mereka.

Gaya bahasa yang mudah dan plotnya yang konvensional – perjalanan watak Bulat dari bayi sehinggalah dewasa, amat mudah untuk difahami dan diikuti. Premisnya berkenaan sikap bangsa Melayu yang mudah leka, tamak dan dengki sesama sendiri. Pak Sako jelas menyarankan bahawa bangsa Melayu supaya jangan memandang agama Islam itu pada lapis atasnya sahaja.

Kewujudan watak Puteri Taman Sedia dan Alang Mandur si Sakai di Cameron Highlands yang sangat berbudi pekerti, lebih berbudi pekerti dari bangsa Melayu itu cukup memberitahu bahawa kemuliaan hati bukan sekadar berada di Pondok atau Masjid.

Sedangkan budi pekerti itulah jatidiri bangsa Melayu khususnya, manusia seluruhnya. Maka untuk mendapatkan jatidiri itu, bangsa Melayu mesti menempuhi perjalanan batin terlebih dahulu. Jatidiri inilah yang kini hilang dalam bangsa Melayu seperti yang dibimbangkan oleh Mat Lela Gila dalam nasihat-nasihatnya kepada Bulat. Manakala watak Bulat itu pula lambang kepada jatidiri manusia yang bulat sifatnya, bulat tekadnya dan bulat pekertinya.

Tetapi, seperti persoalan Pak Sako juga, siapa yang mahu mendengar dan percaya nasihat orang gila selain dari menjadi bahan ketawa dan ejekan?


1 ulasan:

Pudin TTG berkata...

Cetakan jawi pada tahun 1941 dan rumi dalam tahun 1960
http://saifudin-mtb.blogspot.com/2010/06/anak-mat-lela-gila-novel-pak-sako.html

Tak Kaya Tak Papa Kedana

Soalan: Saya sebelum ini menganggur beberapa bulan. Sekarang baru dapat kerja. Tapi gaji tak sama macam dulu. Sekadar cukup untuk nafkahi is...