Khamis, 25 Disember 2014

SELAMAT HARI MAULID NABI ISA & SELAMAT TAHUN BARU GREGORIAN 2015

HARI besar agama adalah hari yang dianggap suci oleh penganut agama masing-masing. Meraikannya dengan cara tersendiri adalah hak yang perlu dihormati. Apatah lagi dalam kerangka undang-undang negara kita yang mempraktikkan kebebasan mengamalkan agama sendiri.

Namun kenyataan di atas tidak datang dengan mudah apabila hubungan antara agama di seluruh dunia diuji dengan kemunculan fahaman ekstrem dan prejudis agama yang menebal. Agama seharusnya memainkan peranan mendamaikan hubungan melalui jambatan kemanusiaan yang mengikatkan kita semua sebagai anak Adam yang memakmurkan bumi Tuhan.
 
Islam secara khusus menghulurkan wahana dialog dan perdebatan sihat terhadap apa jua kemungkinan yang menjejaskan hubungan damai antara agama. Budaya prejudis menebal yang dipaparkan oleh sesetengah kelompok atau individu yang melantik diri mereka sendiri menjadi jurucakap Islam bukanlah wajah Islam yang sebenar bahkan dalam banyak hal mereka menghodohkan Islam yang karakternya indah dan damai.
 
Membunuh atas nama agama, menimbulkan kebencian atas nama agama dan menghina penganut agama lain adalah awan gelap yang menyelubungi hubungan antara agama. Budaya demikian harus ditangani bersama oleh semua pihak bagi menyelamatkan dunia dari dibaluti awan pekat dan gelap yang kelak akan mengundang segala macam bala kepada tamadun manusia.

Hak kepercayaan berada dalam zon eksklusif dan mesti kekal dalam keadaan istimewa dan sememangnya berbeza antara satu sama lain, jika tidak, maka tidak adalah erti kita meyakini kebenaran sesuatu agama. Kenyataan bahawa semua agama adalah sama dirujuk kepada nilai kemanusiaan dan kemuliaan akhlak yang diajak oleh setiap agama kerana tidak ada agama menyeru kepada kemusnahan dan kehancuran. Hubungan antara agama harus dibina dan dipupuk atas kejelasan antara hak eksklusif dalam kepercayaan dan usaha keterangkuman dalam nilai manusiawi.

Islam meletakkan premis hubungan antara agama atas dasar kedamaian manakala permusuhan adalah pengecualian apabila asas kedamaian yang dihulurkannya dibalas dengan permusuhan. Saya menyarankan sebagaimana al-Quran menyarankan kepada Ahlul Kitab (penganut Kristian dan Yahudi) dalam seruannya supaya kembali kepada Common Word yang menyerlahkan asal bersama sumber keyakinan masing-masing bahawa:
“...Janganlah kita menyembah selain daripada Allah, dan janganlah kita mengambil sebahagian daripada kita (manusia) menjadi tuhan selain daripada Allah sahaja...”  (sebahagaian daripada surah Ali Imran: 64)
Common Word juga seharusnya menggalakkan ketiga-tiga Agama Samawi ini (Agama yang bersumberkan wahyu) berkongsi penderitaan melihat manusia yang menolak ketuhanan dan memeluk kehidupan tanpa agama. Mereka juga harus bersetuju bahawa kehidupan material yang melampau merosakkan hubungan kekeluargaan dan keutuhan fabrik sosial.
 
Ketiga-tiga agama ini juga mesti menentang kebangkitan ekstremism agama dan kebencian kaum sebagai perjuangan bersama. Sepertimana mereka juga harus menentang bersama kefasadan politik yang merugikan rakyat yang banyak. Begitu juga projek membela golongan miskin harus merentasi semua penganut dalam gerak-kerja yang disusun bersama.

Pada hari penganut Kristian merayakan hari kebesaran mereka, saya mengajak semua pihak agar program Common Word mula diusahakan di Malaysia. Banyak yang boleh dibincangkan dan digerakkan bersama, hanya ini akan menjawab keikhlasan kita dan keberanian kita untuk menidakkan teori-teori konspirasi dan prejudis menebal yang semakin parah melanda negara Malaysia yang kita cintai.
 
Salam Kedamaian di Hari Maulid Nabi Isa, dan Selamat Tahun Baru Gregorian 2015 buat semua kamu umat manusia di seluruh dunia.

Tiada ulasan:

Pengurusan Jenazah Percuma

Pengurusan Jenazah PERCUMA Ada, Kenapa Pilih Yang Berbayar? Duit yang ada, boleh simpan. Selesaikan hutang Si Mati . Simpan untuk kegunaan i...