Apabila sampai di Viewpoint, saya menumpang motosikal sehingga ke kawasan tanah runtuh dan pokok tumbang. Terdapat 2 tempat tanah runtuh. Tempat tanah runtuh pertama tidak sempat saya rakamkan. Anggota Bomba, APM dan Polis bertungkus-lumus menguruskan laluan, menggergaji dahan, pokok tidak dibuang pada runtuhan kerana dikhuatiri akan menyebabkan lebih banyak runtuhan. Dari situ, saya berjalan kaki meniti bahu jalan, sebelum akhirnya menumpang kenderaan APM yang berpatah balik selepas menghantar keluar kumpulan mangsa pertama. Mereka turut membawa bahan mentah ke Masjid Wang Kelian — tanda bahawa logistik asas sebenarnya terkawal. Semakin saya mendekati kawasan itu, semakin jelas bahawa realitinya tidak seburuk gambaran yang tular. Namun, tetap ada kisah yang perlu diceritakan.
Setibanya saya di Masjid Wang Kelian, pasukan keselamatan menyambut saya dengan tenang. Mereka telah bekerja lebih 24 jam tanpa henti, memindahkan mangsa secara berperingkat. Jumlah sebenar pelancong bukannya 1000, tetapi 487 orang. Mereka dibawa keluar pada petang Isnin menggunakan lori dan ambulans. Mereka perlu turun sebelum runtuhan dan menaiki aset kerajaan lain selepas runtuhan. Mereka berat untuk meninggalkan harta kereta mereka, namun atas nasihat pihak keselamatan mereka melepaskan juga
Masih terdapat empat individu yang enggan diselamatkan: dua pemandu bas dari Malaysia dan dua pelancong dari Thailand. Mereka memilih untuk berlindung di Kompleks Arked Niaga Wang Kelian. Mereka menunggu pintu sempadan dibuka kembali untuk berpatah balik ke Thailand. Pemandu bas mahu berpatah balik dan keluar melalui pintu sempadan lain.
Di samping itu, terdapat 91 orang penduduk asal Wang Kelian berlindung di masjid. Di sinilah saya melihat kekuatan sebenar komuniti ini. Mereka tidak panik, tidak menunggu arahan, malah berdiri bersama seperti keluarga besar yang sudah lama terlatih menghadapi cabaran. Ration makanan cukup. Semangat mereka jauh lebih cukup. Mereka memasak sendiri — periuk besar di bahagian belakang masjid. Gelak kecil anak-anak yang tidak mengerti situasi menghidupkan suasana. Bahkan, merekalah juga yang memasak untuk para pelancong yang terkandas hampir 24 jam di Masjid Wang Kelian.
Saya berdiri di tengah mereka, melihat bagaimana mereka membantu orang luar. Melihat wajah-wajah keletihan yang tetap mampu tersenyum. Ketika itu saya sedar — kebenaran yang saya cari bukan sekadar angka atau video tular. Kebenaran itu ialah tentang kekuatan manusia: bagaimana sebuah kampung kecil di sempadan mampu menjadi benteng kasih sayang dan ketenangan ketika seluruh negara dihantui panik.
Saya belum pulang, tetapi hati saya tenang. Di Wang Kelian, saya temui kebenaran — dan kebenaran itu jauh lebih indah daripada apa yang ditularkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan