Rabu, 6 Mac 2024

Peristiwa Hari ini

Hari ini 122 tahun yang lalu, berakhirnya Kerajaan Melayu Patani. 

Kesultanan Patani merupakan antara kerajaan Melayu yang tertua berpusat di utara Semenanjung Tanah Melayu. Ia terbentuk sebagai kesinambungan kerajaan Langkasuka pada sekitar 1350~1450 & berada di kemuncaknya antara tahun 1585 ke 1649. 

Kerajaan Melayu itu bagaimanapun tumpas kepada Kerajaan Rattanakosin Siam pada 1786, lalu dipecahkan kepada 7 negeri kecil dengan setiapnya mempunyai raja tersendiri. Ia melemahkan Patani & menjadikan sebarang kebangkitan menentang Siam hampir mustahil.

Di awal pemerintahan Siam di Patani, para pemerintah tempatan setiap negeri dibenarkan untuk meneruskan pemerintahan cara tradisi Melayu. Pada masa sama, mereka perlu menghantar ufti bunga emas sebagai tanda kesetiaan kepada Rattanakosin di Bangkok. 

Ia menjadi amalan sehinggalah pada zaman pemerintahan Sultan Sulaiman Syarifuddin (1890-1898), Raja Chulalongkorn memerintahkan supaya pentadbiran negeri-negeri Melayu Patani disusun semula mengikut sistem Thesaphiban pada 1897.

Mengikut sistem pentadbiran ini, jawatan raja-raja tempatan tidak lagi diwarisi tetapi tertakluk kepada lantikan Raja Siam. Mereka juga tidak dibenarkan untuk menerima hasil cukai & menjalankan perniagaan, manakala pendapatan mereka diberi terus oleh Siam. 

Kuasa Patani makin terhakis & anak Sultan Sulaiman, Tengku Abdul Kadir Kamaruddin yang menggantikan bapanya sebagai Sultan Patani yang baharu tidak diiktiraf Siam. Kerana enggan menandatangani dokumen melepaskan Patani, Sultan Abdul Kadir ditahan pada 21 Februari 1902. 

Atas kesalahan ingkar perintah Raja Siam, Sultan Abdul Kadir dipenjarakan di Phitsanulok. Pada 6 Mac 1902, Raja Patani terakhir itu secara rasmi dilucutkan jawatan, sekaligus mengakhiri Dinasti Tuan Besar yang memerintah Patani selama 60 tahun. 

Sumber: Nik Anuar Nik Mahmud, (1982) Sistem Thesaphiban dan kesannya keatas Kedaulatan dan Kewibawaan Raja-Raja Melayu Patani. Jebat: Malaysian Journal of History, Politics and Strategic Studies

Gambar: Sultan Patani terakhir, Tengku Abdul Kadir Kamaruddin (Thailands Historia).

#PeristiwaHariIni

Tiada ulasan:

Pengurusan Jenazah Percuma

Pengurusan Jenazah PERCUMA Ada, Kenapa Pilih Yang Berbayar? Duit yang ada, boleh simpan. Selesaikan hutang Si Mati . Simpan untuk kegunaan i...