Gelinciran Tanah dan Aliran Puing Punca Utama Bencana Banjir Puing 2021
Ribuan gelinciran tanah dan aliran puing menjadi punca utama fenomena Banjir Puing di kawasan lembah tanah tinggi di Lembangan Sungai Bentung, Pahang dan Sungai Langat, Selangor yang hulu sungainya mengalir dari Banjaran Titiwangsa.
Faktor pencetus gelinciran tanah dan aliran puing yang berlaku hampir serentak ialah hujan lampau lebat berpanjangan sejak beberapa hari sebelum kejadian bencana Banjir Puing pada 18 dan 19 Disember 2021. Hujan lampau lebat ini berpunca daripada dua fenomena bergabung iaitu kehadiran Lekukan Tropika yang berlegar di pertengahan Semananjung Malaysia dan Luruan Monsun Timur Laut yang membawa air yang banyak dari Laut China Selatan.
Tinjauan udara selama lebih 2 jam di sepanjang lembangan Sungai Benus, Sungai Pertak, Sungai Timbul, Sungai Kerau, Sungai Telemung dan Sungai Bentung membuktikan gelinciran tanah dan aliran puing bersaiz sederhana hingga sangat besar tertabur secara meluas. Tanah runtuh yang besar boleh dianggarkan bersaiz panjang 150m, lebar 50m dan tebal 5 hingga 10m. Sementara Aliran Puing yang bergerak dari puncak pergunungan hingga ke kaki lembah tanah tinggi ada yang mencapai sehingga 5 km panjang. Semua ini menjadi sumber puing yang menghasilkan Banjir Puing yang luar biasa besarnya. Kami menganggarkan bahan runtuhan yang membentuk bahan puing boleh mencapai sehingga 10 juta meter padu.
Dalam keadaan curahan hujan yang ekstrem, lapisan tanah menjadi lampau tepu, cerun curam kehilangan kestabilan dan runtuh pada masa yang hampir sama. Faktor tambahan meliputi faktor geologi (jenis tanah dan batuan, bentuk lembangan dan struktur batuan) dan faktor bukan geologi (pembersihan hutan di kawasan bertebing curam; potongan cerun untuk membina prasarana, termasuk jalan raya; dan pembukaan tanah untuk pertanian). Tinjauan udara menunjukkan semua jenis guna tanah di kawasan cerun curam terlibat dengan kejadian gelinciran tanah dan aliran puing. Antaranya ialah hutan tadahan air (perlindungan), hutan sekunder dan kawasan pertanian (getah, kelapa sawit dan buah-buahan).
Aliran Puing adalah fenomena tabii yang sering berlaku di kawasan pergunungan, bermula pada cerun yang curam hingga di kaki pergunungan. Aliran puing mudah di cetus pada keadaan hujan lebat berpanjangan dan lazimnya dikaitkan dengan fenomena banjir.. Apabila terjadi gelinciran tanah (tanah runtuh) di kawasan pergunungan, bahan runtuhan yang tepu air akan bercampur dengan air yang banyak di dalam alur sungai, membentuk bahan puing yang berkelikatan tinggi (berkelakuan seperti cecair). Bahan ini boleh bergerak pada cerun yang landai (5 hingga 15 darjah) dengan kelajuan mencapai 50 km/ jam. Bahan aliran mempunyai kuasa yang tinggi, berupaya menghakis apa sahaja di laluannya, menjadikan bahan puing bertambah banyak dan kuasa pemusnah yang semakin tinggi.
Apa itu puing? Puing ialah bahan runtuh gelinciran tanah terdiri terutamanya bongkah batuan, kerikil, pasir, lodak, lumpur dan tumbuh-tumbuhan (kayu kayan) dan bahan sepanjang tebing sungai termasuk kayu dan daun yang reput dan bahan daripada binaan manusia. Bongkah batuan yang besar lazimnya diendapkan di kaki gunung, beberapa ratus meter sepanjang cerun peralihan lereng pergunungan dan dataran tinggi, sementara kerikil, pasir pula boleh di bawa sehingga puluhan kilometer jauhnya. Kayu kayan terapung di dalam air banjir, lazimnya tersangkut di pesisir sungan dan terdampar di kawasan yang mempunyai sekatan seperti sungai meliku atau jambatan. Lumpur terapung di dalam air banjir, boleh di angkut sehingga ke laut.
Fenomena limpahan air yang luar biasa adalah disebabkan oleh dua faktor utama: a) Jumlah curahan hujan yang banyak dan pada 18 dan 19 Disember curahannya menjadi lampau banyak; b) kehadiran bahan puing yang sangat tinggi masuk ke dalam alur sungai dan meningkatkan lagi isipadu air banjir. Kenaikan air yang mendadak juga lazimnya disebabkan puing membina ‘empangan sementara’ atau tersekat di sepanjang alur, apabila sekatan ini pecah, air dan bahan puing akan meluru dengan pantas dan kenaikan air banjir secara mendadak boleh mencapai sehingga 5 meter dalam masa beberapa minit sahaja.
Bencana yang berlaku kali ini ialah Banjir Puing di cetus oleh Proses Geologi Berangkai iaitu Gelinciran Tanah, Aliran Puing, Banjir Puing, Banjir Lumpur dan Banjir Sungai. Banjir Puing berbeza dengan banjir sungai biasa kerana kehadiran bahan puing yang lampau banyak. Semasa banjir biasa, air boleh naik sehingga beberapa meter di atas tebing sungai. Begitupun, kenaikanya secara beransur, tidak banyak bahan ampaian kecuali kandungan lumpur dan kurang kerosakan. Banjir puing melibatkan kenaikan air secara mendadak dengan jumlah kandungan puing yang sangat banyak, serta mempunyai kuasa pemusnah yang sangat tinggi di luar jangkaan manusia.
Kami amat bersempati kepada mangsa yang kehilangan nyawa, keluarga tempat bergantung, kemusnahan dan kerosakan harta benda, truma dan kesejahteraan kehidupan. Inilah bencana alam yang perlu dihadapi dengan redha. Mari kita bersatu berhadapan dengan bencana luar biasa ini. Jangan menuding jari, sebaliknya belajar dan carilah jalan penyelesaian terbaik untuk kehidupan yang lebih bahagia.
Profesor Emeritus Dato Dr Ibrahim Komoo
Ketua Klustar, Alam Sekitar & Kelestarian, Akademi Profesor Malaysia (APM); dan Felo Utama, UKM.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan