Khamis, 19 Ogos 2021

Salam Sayang Abah Din

Siang tadi saya beli daging salai dari mak cik pasar. Dia rekemen suruh masak lemak cili api Nogori Sembilan. Siap bagi belimbing buluh lagi. “Tak yah letak asam keping dah” dia pesan.

Balik rumah, saya minta isteri masakkan. Saya pesan jangan tambah asam keping. Dia senyap. Saya tak pasti dia dengar atau tak tapi dalam hati saya kata, dia tahu lah tu.

Masa nak makan saya buka periuk dan saya nampak ada dua keping sebesar dua jari asam keping. Dalam hati, saya mula mencemuh isteri saya. Saya dah pesan tapi dia letak juga bersama belimbing buluh. Mesti terlebih masam masak lemak ni.

Saya kaut dua keping asam tu dan buang dalam tong sampah. Saya kacau kuah dan saya nampak ada beberapa keping lagi. Pelik saya kenapa banyak sangat asam keping dia letak. Nak tunjuk perasaan ke?

Saya kacau lagi, saya nampak semuanya asam keping tak ada satupun daging salai.

Bila saya tengok betul-betul asam keping tu, yang saya nampak adalah hirisan hirisan daging salai. Dua hirisan lagi saya dah buang dalam bakul sampah.

Ada masanya kita terkeliru dalam membuat penilaian dengan membuang sesuatu yang bernilai hanya kerana kita tidak betul betul melihatnya. 

Kita terlalu asyik mahu mencari kesalahan hingga kita tidak nampak lagi kebaikan yang ada di depan mata.

Tiada ulasan:

Pengurusan Jenazah Percuma

Pengurusan Jenazah PERCUMA Ada, Kenapa Pilih Yang Berbayar? Duit yang ada, boleh simpan. Selesaikan hutang Si Mati . Simpan untuk kegunaan i...