Isnin, 25 Ogos 2014

JELAJAH ANAK TANAH MERDEKA 2014



Dalam kesunyian, alarm telefon berbunyi, teralunkan muzik semangat Wrëckar Ugly Fashion Police. Mataku sedikit terbuka, pertanda mimpi indah malam ini telah terputus. Jam menunjukkan pukul 3.00 pagi. Aku tetap terbaring,seperti mengeram, bukan bererti malas, tetapi sengaja.Kemudian aku terbangun dan langsung kubuka jendela pintu, aku tidak tidur bersama anak dan isteri pada malam ini, kerna aku ada misi suci ke kota sekejap lagi. Angin pagi berhembus menyegarkan, walaupun luar masih gelap. Bibir ini berbisik, ucapan doa tanda syukurku atas dibangunkannya jasad ini dari alam yang tak kukenal tadi.
Aku berjalan menuju ruang makan, Isteriku telah menyiapkan kopi panas dan kek coklat yang ku minati. Hari ini hari jumaat, Ku tersenyum pada isteri, kuteruskan langkahku untuk membasuh muka di sinki, menyegarkan wajah kusutku seusai bangun tidur. Berdua saja kami duduk di depan meja makan, aku dan isteri.

   Sudah siapkah semua barangku, tanya aku.
   Tentu saja sudah bang dari malam tadi, Baju 2 helai,seluar pendek sehelai,boxer 4 helai, kain pelikat 2 helai,stokin 2 pasang, toileteris,tapi abang kena beli ubat gigi, charger hand phone,dan hand phone anak manalah tahu handphone abang nanti cepat abis bateri,ucap iseriku pantas berleret-leret (mungkin dia telah bersedia dengan soalan ku).
   Hati-hati ya sepanjang perjalanan, dah lah nak jalan sorang dari sini ke kota. Nanti tiap tika berhenti hubungi aku, takut mata keranjangmu kelain pula, ucap isteriku, sedikit khuatir.
   Yang. Aku bisa jaga diri, Aku yakin Alah Setuju semuanya, ujarku tenang.

Aku hanya tersenyum dan mengangguk. Kulanjutkan membereskan apa saja yang harus ku bawa.Baju acara,sticker acara, alatan mesin. Aku mungkin terlalu keasyikan, Usai solat hajat aku malah terdiam dan merenung. Bersama kesunyian aku membayangkan, mimpiku ternyata bisa terwujud. Dengan keadaan keluarga yang seadanya, aku bisa kemana sahaja tanpa halangan dari sesiapa. Di dalam lamunanku, aku terkejut.

   Abang! ucap isteriku dengan kerasnya.Sudah hampir Jam 4.00 pagi ini.

Dengan mesin kecil hitam, aku akan mulai berangkat sebentar lagi. Isteri menghantar di pintu rumah sahaja.Katanya dia harus menjaga rumah. Lagipula suatu hal yang mustahil untuk dia mengikut misi ku ini, jangan harap, RIDE ini urusan laki-laki sahaja, urusan wanita cuma Kak Nita,dan Anim itupun mereka solo ride (pasti mereka kuat berusaha dengan monopod dan tripod mereka.

   Jaga diri baik-baik Bang. Banyak berdoa. Ingat aku, dan anak-anak.Nasihat dari isteriku dengan mata yang cukup berkaca-kaca.
   Aku tahulah Yang, doa kan yang baik-baik saja, semoga semuanya selamat, toksah lah buat sedih sangat I keluar 3 hari saja, janji hari ahad I balik.
   Assalamualaikum, ucap isteriku.
   Walaikummussalam, jawab aku.

Aku pun bersalaman dengan isteri,dengan anak telah kukucup dahi dari awal tadi sebelum keluar ke pintu.Segera ku bergegas menaiki mesin kecil hitamku sambil menyembunyikan air mataku. Begitu dinginnya subuh itu. Namun untungnya aku tetap merasakan kehangatan dari dalam batang tubuh yang penuh keinginan, kerana ini memang kemahuanku memang ini misiku.
Jam tepat pukul 04.00 pagi Dari Kampung Katong,Arau,Perlis. Aku melalui Pekan Kodiang, buat pengetahuan kamu semua Pekan Kodiang merupakan pekan terakhir negeri Kedah,sebelum bertemu negeri Perlis. Ia berpusat pada simpang 4, yang menarik pada Kodiang ialah pasembornya dan nama Pekan ini sering di sebut dalam drama TV, kononnya digambarkan pekan ini Ulu dan bercakap loghat dalam yang teruk-teruk, aku sendiri pun tergelak bila melihat pelakon tv berlakon begitu, nama pekan ini juga banyak di sebut dalam buku-buku novelis Rejab F.I. Tuan-tuan budiman jika ke utara bolehlah singgah sebentar di pekan ini melihat sendiri keuluannya seperti digembar drama tv. Dari Kodiang aku menyusur memasuki Lebuhraya PLUS menuju ke ibu kota.
Aku masih tetap tersenyum. Aku yakin pasti berjaya walau ini baru permulaan kilometer sahaja. Odometer menunjukkan 60422. Mesin ini bersamaku hampir 2 tahun. Running in aku mendapat 500 di Krabi membawa Djin dan 2 lagi rider tempohari terasa seperti sekejap sahaja. Telah ku kira dengan mesin kecil ini aku ke Krabi 5 kali, Phuket 3 kali, Samui 1 kali,Ranong/Kawthoung Myanmar 1 kali,Thousand Corner Mae Hong Son Pai Laos 1 kali, Pattaya 1 kali.Bukan mendabik dada tetapi sebagai penduduk miskin desa seperti aku,cuma mesin ini yang aku mampu. Aku masih tetap tersenyum mujur aku memakai topi keledar tutup penuh jika tidak pasti aku di pandang pelik, tersenyum sengih seorang senyawa. Ibuku, ayahku, isteri, anak-anak dan juga desa yang kucintai ini pasti akan kurindui untuk 3 hari lagi. Di dalam hati aku semakin bertekad, aku harus bisa menggapai misi mengelilingi Semenanjung Malaysia dengan baik.
Perjalanan ini amat nyaman. Aku tiba di Plaza Tol Sungai Dua,Pulau Pinang hampir pukul 06.00 pagi aku berhenti bersolat memohon perkenan Yang Maha Esa.
Bila sinar mentari dari ufuk timur menampak cahaya aku teruskan lagi, pemandangan yang indah tentu sudah sangat cukup untuk menyegarkan penglihatan ini. Inilah salah satu tanda kekuasaanNya. Sesekali ku beranjak dari tempat dudukku ke depan dan ke belakang membetul posisi batuku.
Angin berhembus,terus menerpa dadaku, aku menggerak bibir terkumat kamit bertasbih bertahmid memuji Yang Maha Kuasa. Di depan mataku terlihat sawah yang terhampar luas. Langit biru, bersama para awan dan juga burung yang beterbangan semakin memperindah suasana ini.
Aku tiba di ibu kota sekitar jam 12.00 rembang tengahhari. Lantas selepas Plaza Tol Jalan Duta aku berhenti dan menghubungi Sahabat Karibku Insan dan Sofyan, dengan Insan aku bertanyakan mengenai kedai yang bagus untuk servis mesin kecil hitamku dan dengan Sofyan aku konfirmkan untuk makan tengahhari seperti yang dijanjikan.
Hari ini Jumaat aku yakin menerima bonus musafir kerananya niat misiku ini selain dari mengelilingi Semenanjung aku juga akan memperkenalkan kepada umum dengan mengedarkan risalah Tabung Wang Amanah Tidak Patuh Syariah oleh Majlis Agama Islam Negeri Perlis (Tabung khas untuk individu atau syarikat yang ingin menyalurkan wang dari hasil rompakan,rampasan, hasil jualan barang curi, rasuah, loteri, riba, perjudian, pertaruhan, jualan dadah, hasil tembakau dan pendapatan seangkatan dengannya) untuk di manfaatkan sebaiknya oleh masyarakat Islam dan di kongsi bersama rakyat bukan islam. Tabung ini merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia.

MAYBANK ISLAMIC : 559021602422
Kami tidak menguruskan wang tidak patuh syariah. Segala wang terus ke menerus ke kaunter pejabat MAIPs.

Usai urusan di bengkel motorsikal aku ke Taman Tasik Titiwangsa iaitu titik janji pertemuan dengan sahabat-sahabat dari wilayah sentral. Belum sempat aku sampai Saudara Rizal GT menghubungi aku, beliau terlebih dahulu sampai awal dariku. Kemudiannya Saudara Rashimy Futurian datang sekadar menghantar, apapun terima kasih belanja minum. Kemudian sahabat-sahabat yang lain sampai, Sam Kyla Kampung Baru, Along Desa Pandan, Fuud Ai Tenang, Safwan Gombak , Insan Kamil, Lan Online dan yang terakhir Zam Taman Permata.
Dari situ kami beramai ke Kampung Malaysia, Sungai Besi untuk menghadiri majlis jamuan hari raya di rumah Sofyan. Abang Bob Kapcai dari Melaka telah sedia menunggu kami di sana. Nah Jamuan ringkas tetapi amat menyelerakan, aku yang belum makan tengahari seperti biasa melahap 3 pinggan nasi.
Kamu dan kawan-kawan semua hati-hati, tak larat ke mengantuk behenti jangan di gagah juga. Ucap Mak Ani, emak Sofyan.
Baiklah Mak Ani. Jawab aku tenang.
Usai makan bersiap beraya ampun maaf di pinta, Abang Bob Kapcai mengeluarkan bendera Palestin beliau untuk kami bergambar bersama. Sungguh perasaan macam pejuang terasa. Jam tepat 05.30 petang kami bergerak menuju selatan.
Sebelum hentian R&R Seremban kotak barangan mesin ku terbuka aku tidak pasti apa yang terjatuh ketika pada mula aku berhenti membetulkan kotak dan meneruskan perjalanan. Tiba di hentian R&R aku memeriksa setelah di tegur oleh Insan. Nahh sekotak sticker telah terjatuh ketika kotak ku terbuka. Andai ada tuan yang terbaca nukilanku ini dan menjumpai kotak sticker tersebut aku halalkan semuanya kerana bukan rezekiku.
Kami tiba di Hentian R&R Ayer Keroh hampir pukul 08.00malam. Sahabat dari Seremban telah setia menunggu Hamiz Atailah, Syamrin, Ariffin, Mirul dan Syed Khairul kesemua mereka akan menungang mesin sejenis dengan aku. Mereka lengkap dengan tshirt PEKËTUM, Owh sungguh bersedia.

   Empa taw dak kita nak keluar ni 3 hari, tanya aku.
   Kami taw lah, jawab Hamiz Atailah.
   Saya Mirul yang contact abang dalam Facebook kelmarin,saya belum pernah join mana-mana ride jauh lagi, harap abang beri tunjuk ajar, ujar seorang rider kurus muka muda lagi.
   Ok, takpa-takpa, semua ada kali pertama untuk apa-apa, ujar aku tenang.
   Dalam ride ni semua alert masing-masing, tengok depan, nak potong usha cermin sisi, bila tengok belakang takdak rider, slow mesin masing-masing, ujar aku.
   Takpa Duha, Saya sweeper, Along Desa Pandan mencelah mengakhiri taklimat ringkas.

Usai bersalaman bersiap, menyala rokok suria sebatang, kami bermai-ramai lagi meneruskan perjalanan ke selatan. Aku terseyum refleks kernanya walau tiada sahabat dari utara yang sudi mengikut misiku ini namun sahabat sentral dan selatan bersedia dengan rela.
Hari telah mula kelam, rombongan misi kami berhenti beberapa kali untuk mengisi minyak dan berehat, dengan kelajuan malar sekitar 110km/j hingga 120km/, kami keluar di persimpangan Air Hitam, Kluang. Lepas dari plaza tol kami berhenti untuk menunggu sahabat Wan COE BP, Jam menunjukkan pukul 09.50 malam. Nah wajah kegembiraan terpancar, kain rentang di naikkan menanda kami telah sampai. Selang beberapa minit Wan COE BP sampai dari Batu Pahat. Selepas itu kami mengambil keputusan untuk berehat di Stesen Minyak Petronas yang terletak kira-kira 500Meter dari simpang ke Kluang.
Di sini kami mengambil kesempatan untuk mandi dan solat sementara menunggu sahabat terakhir dari Johor Bharu, Bard Ejart 76 Rider tiba. Selang setengah jam Bard Ejart pun sampai. Beliau tiba dengan wajah yang berseri-seri manakan tidak ini kali pertama kami ke selatan. Sebelum ini asyik siam,siam, dan siam sahaja.
Usai bersiap kami ke Dataran Kluang untuk bertemu dengan Linda Ex Crew yang menunggu di sana. Beliau menunggu dengan beberapa lagi ahli COE Kluang yang tidak sempat kami berkenalan setakat bersalaman sahaja. Kami tiba sekitar jam 11.40 malam. Usai bergambar di Dataran Kluang dengan kain rentang. Kami mengambil keputusan untuk makan malam terlebih dahulu memandang kan belum menjamah nasi lagi malam ini. Kami kemudian mengikuti jalan menghala ke Mersing, aku lihat papan tanda jalan MERSING 114KM. Ok tidak terlalu jauh pasti akan dapat di habiskan sebelum hari siang. Usai makan dan bergambar di sebuah restoran dengan harga yang demokrasi. Nasi goreng dan Kopi RM7.00. Kami menuju ke Mersing. Tuan-tuan boleh melihat pada peta GPS canggih tuan-tuan jalan tengah memintas hutan ke Mersing.
Pada stesen minyak terakhir sebelum memasuki simpang ke Mersing, mesin Zam Taman Permata mengalami kerosakan. CDI beliau terbakar dan berbau hangit. Ok ini yang ingin aku kongsikan, beliau meletakkan 2 CDI untuk siap siaga jika sesuatu berlaku pada CDI yang digunakan. Saya juga tidak pernah terfikirkan perkara tersebut.
Kami melalui jalan berliku di tengah hutan selepas tengah malam. Angin meniup menerpa badan, sejuk gedi, di tambah dengan kelam gelemat sungguh menguja bagi pengembara seperti aku.Pasti rakan-rakan yang lain juga seperti aku, kecuali Wan COE BP yang pernah melalui jalan ini. Sepanjang perjalanan pada malam hari ini, kelibat anjing liar di tepi jalan, beberapa lori dari hadapan dan mengikut jalan yang sama di potong oleh kumpulan kami.
Bacaan meter minyak hampir kepada E, aku mula memperlahan mesin dan membiarkan kumpulan meninggalkan aku seorang diri di belakang sekali. Dan aku sedikit mengantuk. Ini aku mahu kongsikan aku diusik..Hahahahhah. Selepas kumpulan meninggalkan aku.. fikiran aku melayang melamun tiba-tiba seperti bayangan putih berkibar di sebelah kananku, dalam sekelip mata bulu roma meremang, aku aku menoleh sekali lagi ke kanan. Rupa-rupanya Bendera Malaysia besar yang di pacak di tepi jalan. Hahahhahaha, hare sungguh.
Aku terus memecut mesin ku untuk mengejar rakan-rakan lain yang berada nun jauh di hadapan. Sampai di simpang tiga,Nahh.. papan tanda bertulis MERSING menghala ke kiri telah kelihatan. Kami pun menghala ke Mersing dan berhenti di Stesen Minyak Petron. Jam di tangan menunjuk pukul 02.48 pagi. Ikut nya aku telah menunggang hampir 24 jam tetapi tanda-tanda keletihan patah teruk belum terasa lagi.
Selepas membuang air dan bertanya pada rakan-rakan yang lain semua bersetuju untuk meneruskan perjalanan, tetapi perlu berhenti minum kopi terlebih dahulu. Kami berhenti ambil gambar di tengah Bandar Mersing di bulatan hadapan tokong cina cantik dengan latar tulisan MERSING di atas bukit yang dapat dilihat dalam gambar. 2 kali kami di provok oleh Mat Motor Cina Mersing (aku bukan rasis untuk sebut cina) tapi kami buat cool sebab beliau menungang mesin jenis yamaha ss sambil memfull throtell (tu tahun 1996 boleh lah hahahaha..)
Mungkin beliau tidak punya hon untuk ucap selamat, biarkanlah dia tidak membawa maksud yang tidak baik, ujar aku.
Kami meneruskan perjalanan lagi sehingga berjumpa sebuah kedai yang masih di buka, apa yang best kedai ni ada WIFI. Hehehehe.Hampir sejam kami duduk bersembang, seorang sahabat Lan Online hanyut tidak sedar diri, sehinggalah kami bangun. Keluar dari kedai minum tersebut mesin bard ejart bocor tayar belakang, sekali lagi kami tersentap, mujur Along Desa Pandan membawa pump, angin di isi perjalanan di teruskan lagi. Kami berhenti 2 kali di landmark ENDAU dan ROMPIN untuk bergambar.
Tepat jam 05.00 pagi, kepala rombongan Insan Nul Kamil membuat keputusan untuk berhenti iktikaf di Masjid berwarna hijau yang tersergam indah di kiri jalan. Selepas berhenti saya mengetahui Mesjid bernama Masjid Tengku Abdullah, Kuala Rompin, Pahang. Jadinya saya telah menunggang selama 25 jam sejak keluar rumah pagi kelmarin. Semua rakan di beritahu untuk sembahyang sunat tahayatul mesjid, kemudian niat iktikaf semoga urusan terus di berkati.
Azan subuh berkumandang aku terjaga, mata di buka, telah ramai jemaah, Alhamdulilah ramai anak jemaah lebih 2 saf menunaikan solat subuh. Usai salam, aku terus ke bahagian belakang dan menyambung tidur. Kendengaran imam memberi tazkirah subuh namun cuma sekejap mungkin beliau memberi kami kesempatan untuk terus berehat, aku tersenyum dan meneruskan tidur. Hampir jam 09.00 pagi aku terjaga mengejut Bard Ejart di sebelahku kami berdua cepat bersiap dan membawa motorsikal Bard Ejart ke kedai.
Hampir pukul 10 pagi kami semua telah bersiap, kami bergambar di hadapan kepala keretapi bersejarah Rompin di hadapan kompleks kerajaan, dan kemudiannya sarapan campur makan tengahari harga masih demokrasi RM8.00 untuk sepinggan nasi ikan kembung bakar dan kopi ais.
Lepas jam 11.00pagi kami mula bergerak dari Kuala Rompin. Suka untuk aku ceritakan mengenai Kuala Rompin ini, makanan istimewanya ialah udang galah sepit biru, terdapat beberapa kedai makan di sepanjang jalan yang tertera tulisan dan gambar udang galah di papan tanda kedai mereka. Allah setuju kita akan kembali lagi menangkap udang galah segar buat santapan sendiri ya kawan-kawan.
Rombongan kami pun bergeraklah menerus perjalanan menyusur jalan paling timur pantai semenanjung tanah melayu, walau cuaca mulai panas namun tiada yang dapat menghalang kami dari menerus perjalanan, namun panas kusangka ke petang namun hujan di tengahhari, kami tersentap pada 18km terakhir sebelum Bandar Pekan, mesin tungangan Lan Online meragam, Insan kemudiannya menunda mesin meragam tersebut terus ke Bandar Pekan. Sesampai di sana, alat ganti terus di beli, jangkaan awal bahagian blok,piston,ring, yang rosak, ini kerana kelihatan asap putih setiap kali cuba dihidupkan enjinnya. Harga RM130.00 kos lumayan untuk komplete set blok piston aluminium saiz 62mm, gasket, dan coolant. Mesin di lokah di tepi jalan “Pekan Riverside”, sekali lagi kepakaran Tukang Perbaik Zam Taman Permata di tagih, tuan-tuan boleh merujuk kisah Phuket Bike Week 2014 tempohari. Apabila semua di buka kelihatan baik-baik sahaja. Tukang Perbaik mengesyaki Fuel Pump, Lan Online sekali lagi ke kedai alat ganti membeli alat ganti Fuel Pump original dengan harga RM35.00.
Menerus cerita pada pagi kelmarin, Lan sebelum bertolak, telah menukar Fuel Pump di bengkel NKS Sentul, jenama STANDARD, pomen cina (saya bukan rasis) mengatakan ia adalah buatan sama Original namun percayalah tuan-tuan jangan di ulang kesalahan saudara kita Lan.
Usai mesin di siap,Jam menunjuk hampir 15 minit lepas pukul 05.00 petang, kami meneruskan lagi perjalanan, menyusur jalan pantai timur, dari Pekan menuju Kuantan. Permandangan indah begitu menguja, sungai yang luas, paya bakau, sungguh mengasyikan. Pada aku semuanya kali pertama, jadi mata liar mengikut arah papan tanda.
Nah!!! hari masih cerah kami sampai ke Bandar Kuantan, Jalan sedikit sibuk dengan kenderaan, hari ini sabtu ada pasar malam di Hadapan Bangunan UTC, dulu stesen Bas Ekspress Kuantan, aku masih ingat lagi 3 tahun lalu untuk urusan mesyuarat sukan Paralimpiad, aku turun dengan bas dan berjalan kaki di sini. Kami berhenti di pasar malam, seperti sudah menjadi tradisi kumpulan kami untuk berhenti di pasar malam, meninjau pasar malam perasaan lebih dekat dengan budaya penduduk setempat, mencuci mata, mendengardialek tempatan, juadah makanan sedap, minuman sedap, fesyen, dan sebagainya. Dengan memantau harga makanan,dan minuman di pasar malam, sedikit sebanyak sosio ekonomi sesuatu tempat itu boleh di gambar. Harga untuk sebungkus air balang ialah RM1.50 untuk cawan kecil dan bungkus plastik RM2.00. Pastikan tuan-tuan memberitahu yang mana satu, kalau tidak pasti di bungkus yang RM2.00.
Hampir maghrib kami menerus perjalanan untuk ke Kuala Terengganu, Jalan terbaik sepanjang 3 hari kembara saya katakan ialah dari Kemaman ke Kuala Terengganu lurus selekoh panjang, tiada lubang-lubang yang ketara. Hampir jam 01.00 pagi kami tiba di Perkarangan Masjid Terapung, Kuala Terengganu. Memasuki Dungun awal tadi kami di sambut oleh Fauzi Lagend. Beliau menjadi pemandu arah dari Dungun ke Kuala Terengganu.
Kisah Fauzi Unik, beliau aku kenali pada acara Phuket Bike Week yang lepas, beliau dan 3 orang sahabat lagi, wakil dari Terengganu. Beliau bertubuh 5XL namun gagah dengan mesin Yamaha Lagenda dari K.T ke Phuket tempohari, mereka pulang ke KT mengikut jalan Siam ke Kelantan. Sesuatu yang aku sendiri panjang akal untuk berfikir tetapi mereka gagahkan juga jebat.
Sudah masuk hari lain, pagi ini Ahad 17 Ogos 2014. Usai makan malam di restoran berhampiran Masjid Terapung, Fauzi dan Bro Eman menunjuk kami jalan keluar dari Kuala Terengganu ke Kelantan. Jam hampir 03.20pagi kami berpisah di sebuah Jambatan. Mengikut haluan masing-masing. Sekitar jam 04.20pagi kami berhenti untuk Iktikaf di Masjid Al-Mustaqim,Kampung Gemuruh,Kuala Terengganu.
Usai bersiap solat, semua kami hanyut di buai mimpi indah bertemu alam yang tidak dikenal, azan subuh berkumandang, kami bangun solat, kemudian sambung tidur. Hampir jam 09.00 pagi aku dikejut oleh bunyi telefon. Seorang sahabat ECR (Endurance Cub Rider) KAME LORENZOLmenghubungi aku, aku dan dia ada kisah ketika ke Laos tempohari, kami rakan sebilik sepanjang 9 malam 10 hari, beliau berasal dari Kuala Terengganu. Kami bersembang panjang, Beliau sekarang sudah upgrade selepas pulang tempohari, kini menungang Kawasaki ER6, Mesin kapcai Modenas GT128 putih melepak beliau masih di guna tetapi mengahantar anak ke sekolah dan ke pasar sahaja. Kisah beliau dengan KSR juga pernah muncul dalam Majalah Kapcai, tetapi KSR dah dijual, demi Oh ER6.
Sambungan kisah beliau juga aku ingin kongsikan, kami saling kenal melalui media sosial Facebook pada mulanya, beliau antara HARDCORE kapcai yang aku kenali, pulang dari Laos, pada hari terakhir beliau telah mengeRIDE dari CHUMPON,Thailand terus menerus ke Kuala Terengganu seorang diri. Ya seorang diri, tengok dari muka dengan cermin mata sukar untuk aku percaya. Dari Chumpon 08.00 pagi, 600 km ke sempadan Bukit Kayu Hitam dan beliau sampai ke Kuala Terengganu pada pukul 4.00 pagi hari berikutnya semuanya sekitar 1200 km.
Usai semua bersiap dan sarapan di hadapan mesjid yang sungguh marhaen aku cuma makan sebijik kueh dan kopi dengan harga RM1.40. Tepat jam 11.00 pagi kami bergerak dari Kampung Gemuruh dan tiba di Jeli sekitar Jam 2.00 petang. Tiba di sebuah gerai kami makan tengahari dengan kos lumayan RM8.70.
Dari Jeli kami mula menyusur laluan ke Gerik sekitar jam 04.00 petang dalam perjalanan kami bertemu dengan rakan-rakan rider klasik. Kumpulan dari Kulim, mereka 17 buah motorsikal jenis honda kap. Kami sempat berkenalan dan bertukar nombor.
Turun ke Banding kami beramai berhenti di Kem Askar Banding jam menunjuk pukul 05.00 petang, sessi bergambar berlaku, di atas kereta kebal. Turun ke Gerik 3 buah mesin kumpulan kami kering minyak, mujur saudara Riz GT telah awal bersedia, beliau menjadi penyelamat.
Hampir 30 minit selepas jam 06.00 petang kami beramai berpisah di persimpangan lebuhraya ke Kuala Kangsar. Aku meneruskan perjalanan ke Utara dan tiba pada jam 10.00 malam di rumah, odometer menunjuk 62213. Buat rakan-rakan dari timur yang mahu ke utara, paling mudah ialah mengikut Kuala Pegang. Selepas stesen minyak Caltex, tuan-tuan belok simpang ke 3 ke kanan. Tuan teruskan hingga berjumpa simpang 3 mati ke kiri GURUN kanan ke BALING. Ambil ke GURUN. Perjalanan singkat ke Utara berbanding terus ke KULIM.
Aku ambil 66jam dari usiaku untuk mengelilingi Semenanjung Malaysia dengan Jarak Total 1791km. Kumpulan sentral tiba jam 02.30 pagi. Negeri Sembilan tiba jam 04.00pagi. Rider Johor tiba jam 9.00pagi ke rumah masing-masing.
Perjalanan ini akan selalu kuingat, di antara perjalanan terindah di dalam hidupku. Aku tak tahu bagaimana mahu bermula, bila di tanya,tetapi seperti kata rakanku, aku tidak ingat hari tetapi aku ingat setiap peristiwa. Yang pasti, untuk saat ini yang harus aku lakukan adalah menggapai impian. Menjadi kebanggaan anak-anakku walau mereka masih kecil, dan dapat menjadi manfaat bagi orang lain. Aku yakin, suatu harinanti kembara akan datang lagi. Entah bila, tinggal menunggu waktu yang tepat dari Sang Pencipta. Semoga kita dapat bertemu kembali, dengan kisah yang indah dan diredhai olehNya. Amin.
Madduha Perlis, Malaysia.
www.malayregime.blogspot.com
















































































1 ulasan:

Ra1m1 berkata...

elok dah penceritaan.. tapi kerja-kerja reka letak masih perlu dikemaskan. susunan penting agar mata tak berimpun.

Pengurusan Jenazah Percuma

Pengurusan Jenazah PERCUMA Ada, Kenapa Pilih Yang Berbayar? Duit yang ada, boleh simpan. Selesaikan hutang Si Mati . Simpan untuk kegunaan i...