Rabu, 3 Disember 2025

STRANDED IN WANG KELIAN

Saya meninggalkan keluarga pada hari ahad malam, bertugas di Disaster Evacaution Center ( DEC )Felda Mata Air, kemudian pada 4 pagi ke DEC Felcra Lubuk Sireh, kemudian selepas zohor kelmarin ( isnin ) menuju Kampung Wang Kelian bersama seorang lagi ahli pasukan jacket oren, di Kaki Bukit pasukan polis tidak membenarkan kami naik, selepas menjual 1 nama baru dibenarkan. Kami ke Kampung Wang Kelian dengan satu tujuan yang jelas: mencari kebenaran. Sejak malam sebelumnya, media sosial riuh rendah dengan dakwaan bahawa lebih 1000 mangsa terkandas akibat jalan terputus. Gambar dan video yang tular menambah gempita— ada yang mengatakan keadaan kritikal, ada pula mendakwa ramai terperangkap tanpa makanan. Sebagai seorang pencari kebenaran, saya tidak mampu hanya membaca dan meneka. Saya perlu melihat dengan mata sendiri, merasai dengan tubuh sendiri, dan melaporkan apa yang benar-benar berlaku di kampung sempadan itu.

 Apabila sampai di Viewpoint, saya menumpang motosikal sehingga ke kawasan tanah runtuh dan pokok tumbang. Terdapat 2 tempat tanah runtuh. Tempat tanah runtuh pertama tidak sempat saya rakamkan. Anggota Bomba, APM dan Polis bertungkus-lumus menguruskan laluan, menggergaji dahan, pokok tidak dibuang pada runtuhan kerana dikhuatiri akan menyebabkan lebih banyak runtuhan. Dari situ, saya berjalan kaki meniti bahu jalan, sebelum akhirnya menumpang kenderaan APM yang berpatah balik selepas menghantar keluar kumpulan mangsa pertama. Mereka turut membawa bahan mentah ke Masjid Wang Kelian — tanda bahawa logistik asas sebenarnya terkawal. Semakin saya mendekati kawasan itu, semakin jelas bahawa realitinya tidak seburuk gambaran yang tular. Namun, tetap ada kisah yang perlu diceritakan.

Setibanya saya di Masjid Wang Kelian, pasukan keselamatan menyambut saya dengan tenang. Mereka telah bekerja lebih 24 jam tanpa henti, memindahkan mangsa secara berperingkat. Jumlah sebenar pelancong bukannya 1000, tetapi 487 orang. Mereka dibawa keluar pada petang Isnin menggunakan lori dan ambulans. Mereka perlu turun sebelum runtuhan dan menaiki aset kerajaan lain selepas runtuhan. Mereka berat untuk meninggalkan harta kereta mereka, namun atas nasihat pihak keselamatan mereka melepaskan juga 

Masih terdapat empat individu yang enggan diselamatkan: dua pemandu bas dari Malaysia dan dua pelancong dari Thailand. Mereka memilih untuk berlindung di Kompleks Arked Niaga Wang Kelian. Mereka menunggu pintu sempadan dibuka kembali untuk berpatah balik ke Thailand. Pemandu bas mahu berpatah balik dan keluar melalui pintu sempadan lain. 
Di samping itu, terdapat 91 orang penduduk asal Wang Kelian berlindung di masjid. Di sinilah saya melihat kekuatan sebenar komuniti ini. Mereka tidak panik, tidak menunggu arahan, malah berdiri bersama seperti keluarga besar yang sudah lama terlatih menghadapi cabaran. Ration makanan cukup. Semangat mereka jauh lebih cukup. Mereka memasak sendiri — periuk besar di bahagian belakang masjid. Gelak kecil anak-anak yang tidak mengerti situasi menghidupkan suasana. Bahkan, merekalah juga yang memasak untuk para pelancong yang terkandas hampir 24 jam di Masjid Wang Kelian. 

Saya berdiri di tengah mereka, melihat bagaimana mereka membantu orang luar. Melihat wajah-wajah keletihan yang tetap mampu tersenyum. Ketika itu saya sedar — kebenaran yang saya cari bukan sekadar angka atau video tular. Kebenaran itu ialah tentang kekuatan manusia: bagaimana sebuah kampung kecil di sempadan mampu menjadi benteng kasih sayang dan ketenangan ketika seluruh negara dihantui panik.

Saya belum pulang, tetapi hati saya tenang. Di Wang Kelian, saya temui kebenaran — dan kebenaran itu jauh lebih indah daripada apa yang ditularkan.

STRANDED IN WANG KELIAN

Saya meninggalkan keluarga pada hari ahad malam, bertugas di Disaster Evacaution Center ( DEC )Felda Mata Air, kemudian pada 4 pagi ke DEC ...