Sabtu, 5 April 2025

Perang

Perang meletus bukan kerana rakyat berbalah sesama sendiri, bukan kerana permusuhan antara jiran tetangga, tetapi kerana dendam lama antara dua orang tua yang duduk di takhta megah. Mereka saling mengenal, pernah berjabat tangan dalam pesta dan kenduri, namun hasad dalam dada tidak pernah sirna. Dan akhirnya, dendam yang mereka pupuk dalam istana emas, mekar menjadi duri yang menikam dada anak-anak muda di medan juang.

Maka digerakkanlah bala tentera, pemuda-pemuda segak yang baru mengenal erti cinta dan harapan, kini dijadikan alat untuk membunuh saudara seagama, sebangsa, sesama manusia. Mereka tidak pernah bersua muka, tidak pernah pun menyebut nama satu sama lain, namun diperintah untuk saling membunuh, seolah-olah darah itu tiada nilainya, seolah-olah roh itu hanya debu yang berterbangan di angin musim gugur.

Wahai dunia, tidakkah engkau mendengar tangisan seorang ibu yang anaknya tidak pulang? Tidakkah engkau peduli pada seorang kekasih yang menunggu bayang di jendela, malam demi malam? Tidak, dunia sudah tuli. Tuli oleh bunyi emas yang bergemerincing dalam kantung para pembesar, buta oleh kemilau kuasa yang menutup mata hati mereka.

Di balairung istana, mereka bersidang dengan angkuhnya, menyusun strategi seakan-akan nyawa hanyalah bidak di papan catur. Mereka menyebut angka korban seperti menyebut harga lembu dan kuda. Mereka berkata, "Perjuangan ini suci." Tapi tidak pula mereka turun ke medan, tidak pula mereka mengangkat pedang, tidak pula anak mereka dihantar berperang. Mereka kekal di istana, meminum anggur dan menyusun dendam baru.

Di lembah yang kini menjadi tanah perkuburan tanpa nama, senyap sudah suara yang dahulunya menyanyi riang. Hanya tinggal angin yang membawa bisikan roh yang tidak tenang. Tiada pahlawan pun menang dalam perang ini. Yang tinggal hanyalah kehilangan, kesakitan dan kenangan yang tidak sempat menjadi sejarah.

Dan begitulah perang:
dimulakan oleh yang berkuasa,
dilaksanakan oleh yang muda,
dan ditangisi oleh yang tinggal.


PEKETUM

Tiada ulasan:

SAMUI ENDURANCE 2025

Telah tetaplah janji dan ikrar, Pada malam Jumaat, tanggal dua puluh tujuh Jun yang mulia, Sesudah Maghrib nan syahdu suasananya, Bertemulah...