Khamis, 2 Jun 2022

HUKUM P TOKONG

[Hukum Memasuki Rumah Ibadat Bukan Islam Untuk Dakwah] 

1. Saya diberikan beberapa gambar berkaitan ulamak besar dari Mesir yang menyandang jawatan Syaikhul Azhar dan juga Maulana Salman al- Nadwi dari India serta One Centre Malaysia berada dalam rumah ibadah orang kafir. 

Selain itu, terdapat juga gambar Habib Umar dari Yaman, Habib Ali al-Jifri bergambar di luar berhampiran rumah ibadah orang kafir. Jika gambar ini benar, apakah hukum memasuki rumah ibadah orang kafir. Saya ingin memberi  komentar rignkas berkaitan isu memasuki rumah ibadah orang kafir adakah ia dibolehkan ataupun sebaliknya. 

Jika tiada hajat dan keperluan, elakkanlah daripada memasukinya. Para fuqaha mengharamkan untuk memasuki rumah ibadah orang kafir yang terdapat berhala dan patung yang di ibadahi mereka.

2. Demikian pandangan daripada ulamak Mazhab Syafie.

Khatib al-Syirbini berkata:

لا يجوز للمسلم دخول كنائس أَهل الذّمّة إِلّا بِإِذنهم. ومقتضى ذلك الْجواز بالإِذن وهو محْموْل على ما إِذا لم تكن فيها صورة

" Tidak boleh bagi Muslim untuk masuk ke dalam gereja-gereja (rumah ibadat) ahli zimmah melainkan dengan izin mereka. Berdasarkan hal ini dibenarkan memasuki gereja atas izin mereka jika gereja tersebut tidak mempunyai berhala/gambar/patung" 

[Khatib al-Syarbini, Syamsuddin Muhammad bin Ahmad al-Khathib. Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani Alfaz al-Minhaj. jil 4, hal 337] 

Al-Qalyubi berkata:

لا يجوز لنا دخولها أي الكنيسة إلا بإذنهم ، وإن كان فيها تصوير حرم مطلقاً.

"Tiada harus bagi kita memasukinya seperti masuk ke dalam gereja (tempat ibadah orang kafir) melainkan dengan izin mereka. Dan sekiranya ada di dalamnya patung/gambar/lakaran yang disembah (oleh orang kafir) maka haram secara mutlak (memasukinya)" 

Ulamak Syafieyah agak tegas dalam masalah ini. 

3. Ketika kita membahaskan perbahasan berkaitan isu masuk gereja boleh atau tidak, ulamak salaf mereka lebih jauh membahaskan isu bolehkah solat di dalam gereja ataupun tidak.

Imam Bukhari ada meletakkan bab dalam sahihnya:

بَابُ الصَّلاَةِ فِي البِيعَةِ وَقَالَ عُمَرُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ: «إِنَّا لاَ نَدْخُلُ كَنَائِسَكُمْ مِنْ أَجْلِ التَّمَاثِيلِ الَّتِي فِيهَا الصُّوَر» وَكَانَ ابْنُ عَبَّاسٍ: «يُصَلِّي فِي البِيعَةِ إِلَّا بِيعَةً فِيهَا تَمَاثِيلُ

"Bab Solat di dalam gereja/biara. Umar telah berkata: Kami tidak mahu masuk ke dalam gereja-gereja kamu yang ada patung-patung. Ibn Abbas bersolat pada (biara/gereja) kecuali pada (gereja/biara) yang mempunyai berhala"

Ini merupakan turjamatul bab oleh Imam Bukhari dan pada nuskah cetakan yang lain terdapat tajuk yang agak berbeza dengan lafaz di atas. 

Dalam Al-Mausu'ah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah:

قال الحنابلة : للمسلم دخول الكنيسة والبيعة , والصلاة فيهما من غير كراهة على الصحيح من المذهب . وفي قول آخر للحنابلة , وهو قول الحنفية : يكره دخولها لأنها مأوى الشياطين

"Ulamak mazhab Hanbali berkata: Dibenarkan bagi orang Muslim untuk memasuki gereja dan tempat ibadah orang Yahudi (biara), mendirikan solat di dalam tempat tersebut dan hukumnya tidak makruh menurut pandangan yang sahih di sisi mazhab. Menurut satu pandangan yang lain dalam kalangan hanabilah dan pandangan ini bersamaan dengan ahli ilmu dalam mazhab hanafi: di makruhkan memasukinya kerana ia adalah tempat tinggal syaitan-syaitan"

Ini salah satu daripada pandangan dinukilkan dalam Al-Mausu'ah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah. Ada kepelbagaian pandangan lagi 
disebutkan di situ. Bagi yang berkemampuan berbahasa Arab boleh untuk rujuk di situ kerana dinukilkan banyak pandangan di sana termasuk pandangan Syafieyah yang mengharamkan. Zahir teks di atas tidak makruh untuk solat dalam rumah ibadah orang kafir. 

Namun dalam nukilan teks yang lain, ada juga yang membezakan antara rumah ibadah yang terdapat patung berhala ataupun sebaliknya. 

Hakikatnya jika kita merujuk terus kepada kitab asal mazhab Hanbali dan Hanafi, masih ada perbahasan yang panjang dan terdapat ikhtilaf sesama ahli ilmu dalam mazhab tersebut. Ini ada dinukilkan oleh Ibn Muflih dan Ibn Qudamah dalam Hanabilah. Demikian juga dalam mazhab Hanafi oleh Ibn Abidin. 

Tidak berpada sekadar kita melihat dari sumber sekunder. Untuk lebih cermat perlu terus melihat terus kepada kitab mazhab tersebut. 

4. Ada juga ulamak mazhab Hanafi tegas melarang memasuki gereja. Apabila membaca teks mazhab hanafi, perkataan 'makruh tahrim' di sisi mereka berbeza dengan takrif jumhur pada keadaan tertentu. 

Dalam Syarh Kanz al-Daqaiq sebuah karya Fiqh dalam mazhab Hanafi, disebutkan bahawa:

يكره للمسلم الدّخول في البيعة والكنيسة. وَالظّاهر أنّها تحريميّةٌ  

"Makruh tidak disukai untuk seorang Muslim masuk ke dalam tempat ibadah orang Yahudi (biara) dan Gereja. Secara Zahirnya sesungguhnya perkara ini adalah diharamkan (makruh tahrim)" 

[Ibn Nujaim, Zainuddin bin Ibrahim bin Muhammad. al-Baḥr al-Ra’iq sharḥ kanz al-Daqāʼiq. jil 8, hal 374] 

Dalam mazhab Hanafi juga mempunyai kepelbagaian pandangan dalam isu ini. Ibn Abidin juga ada menukilkan pandangan yang mengatakan makruh dan selainnya. 

5. Salah satu pandangan yang disandarkan kepada Imam Malik, beliau tidak melarang pergi berjual beli pada perayaan yang disambut oleh pihak gereja. Dinukilkan dalam Syarah kepada Mukhtasar Khalil dan al-Bayan wa al-Tahsil:

وروى ابن القاسم أَنّ مالكا سئل عن أَعْياد الكنائس فيجتمعُ المسلمون يحملون إليْها الثّياب والْأَمتعة وغيْر ذلك يبيعونَ يبتغون الفضل فيها. قال: لا بَأْس بذلكَ

Diriwayatkan oleh Ibn al-Qasim bahawasanya Imam Malik ditanya berkaitan perayaan-perayaan disambut oleh gereja, maka terdapat kaum muslimin berhimpun pergi ke tempat tersebut dengan membawa baju, perhiasan dan selainnya untuk berjual mengambil keuntungan daripadanya. 

Imam Malik menjawab: Tidak mengapa dengan perkara tersebut. 

[Ibn Rushd, Muḥammad ibn Aḥmad. al-Bayān wa al-taḥṣīl. jil 4, hal 169] 

Dari teks yang dihikayatkan di atas, dikatakan bahawa Imam Malik tidak melarang perbuatan tersebut. Hakikatnya dalam mazhab Maliki terdapat perbahasan yang lebih mendalam dalam kalangan Malikiah dan terdapat perbezaan pandangan dalam hal ini. 

Saya lebih cenderung bahawa tidak boleh untuk bersama kuffar dalam perayaan mereka. Jika pergi ke tempat ibadah mereka seperti kuil, gereja, biara untuk dakwah ataupun berdialog  menyampaikan risalah tauhid ia dibenarkan. 

[Kesimpulan] 

- Harus masuk ke rumah orang kafir yang tidak mempunyai berhala/gambar sembahan mereka  ketika memiliki hajat dan keperluan.  

- Haram memasuki rumah ibadah orang kafir yang mempunyai berhala tanpa sebarang keperluan 

- Solat di masjid lebih baik daripada solat di gereja.

- Lajnah Da'imah membenarkan bagi orang alim yang berkemampuan untuk berdialog dan berdakwah memasuki gereja dengan syarat tertentu.

- Elakkan bersuka ria dan "enjoy" selfie bergembira di tempat peribadatan orang kafir. 

Dr Rozaimi Ramle

Tiada ulasan:

Pengurusan Jenazah Percuma

Pengurusan Jenazah PERCUMA Ada, Kenapa Pilih Yang Berbayar? Duit yang ada, boleh simpan. Selesaikan hutang Si Mati . Simpan untuk kegunaan i...