Isnin, 7 Oktober 2013

KAK NITA OVERLANDER

BERALASAN, 'Khusyuk melihat pemandangan yang indah dan keinginan yang sentiasa berkobar-kobar untuk melihat dunia Allah yang terbentang luas', membuatkan dia sanggup bersusah-payah meredah bumi asing de­ngan permukaan ekstrem secara solo, ha­nya dengan menunggang motosikal Yamaha FZ 150.

Dia itu,  adalah Anita Yusof, 46, pensyarah jasmani di Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh itu sebenarnya baru setahun mendapat lesen menunggang motosikal. Malah dia tidak pernah menaiki pengangkutan beroda dua itu sebelum pengembaraan solonya kerana perasaan takut selain menganggap motosikal sebagai kenderaan yang berbahaya. 
Foto
ANITA berkhemah di sempadan Kazakhstan dan Kyrgystan.
Foto 
ANITA (tengah) bergambar bersama kakitangan Kedutaan Malaysia di Tashkent, Uzbekistan.
Foto 
KETIKA menerima pengiktirafan MBOR.

Hebatnya lagi wanita kental itu mengembara menggunakan bajet sendiri, justeru dia harus berjimat-cermat demi meneruskan kelangsungan perjalanannya menjelajah lima negara iaitu Tajikistan, Kyrgyzstan, Afghanistan, Uzbekistan dan Kazakhstan selama sebulan. 

Biarpun bergerak atas minat sendiri, keberaniannya mengembara secara solo turut mendapat pengiktirafan daripada Buku Rekod Malaysia (MBOR) sebagai pengembara solo wanita negara pertama yang merentasi lima negara di AsiaTengah dengan motosikal.

Dia menceritakan pengalamannya.. 

“Selepas mendapat lesen, saya terus menung­gangnya ke pejabat untuk memberi keyakinan dan memberanikan diri. Hampir dua bulan selepas itu, saya diajar oleh sifu saya cara membaca peta dan mengembara ke negara asing menggunakan motosikal. Kami merentasi Thailand, Myanmar, Laos, China, Vietnam dan Kemboja selama 23 hari. 

“Memang pada masa itu saya masih takut-takut membawa motosikal dan bergoyang-goyang apabila ada kenderaan besar lalu di tepi. Kadangkala saya menjerit kerana takut tetapi selepas beberapa ketika, saya semakin mahir,” katanya yang kini menyambung pengajian di pering­kat PhD dalam bidang Sains Sukan di Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Perjalanannya merentasi negara Asia itu lebih bermakna apabila dia berjaya menempuh seba­nyak 1,864 selekoh untuk sampai ke Thousand Corner, yang terletak di Mae Hong Son, utara Thailand yang memang diidamkan setiap pe­ngembara motosikal malah dianggap ‘naik haji’ oleh golongan itu. 

Malah, kegembiraan dan keyakinannya yang semakin tinggi untuk mengembara secara solo dengan bermotosikal mendorongnya menjelajah sekali lagi ke Thailand, Myanmar, Laos, China, Vietnam dan Kemboja, kali ini seorang diri dalam tempoh 12 hari. 

Selepas yakin dengan kemampuannya, Anita memulakan langkah beraninya menjelajah lima negara di Asia Tengah bermula 22 Mei lalu seorang diri sepanjang 6,208 kilometer dengan membawa bekalan makanan, khemah, pakaian, telekung dan semua kelengkapan membaiki motosikal sekiranya berlaku perkara tidak diingini. 

“Setiap negara yang saya lawati itu sememangnya mundur dan agak menyedihkan terutama dari segi kemudahan buat rakyatnya. Sepanjang melewati negara terbabit, hati saya terasa sayu dengan keadaan mereka dan rasa sangat bersyukur dilahirkan sebagai anak Malaysia. 

“Bayangkan tandas mereka hanya dinding berukuran kecil dan hanya menutup anda sekiranya duduk mencang­kung saja, jika berdiri sudah pasti ramai yang nampak. Begitu juga jalan raya­nya dalam keadaan sangat daif. Daripada jumlah perjalanan saya ke lima negara terbabit, hanya 810km jalan berturap, selebihnya jalan yang rosak teruk, berbatu ataupun tanah merah saja,” katanya. 

Pengalaman di negara terbabit sememangnya menginsafkan dirinya apatah lagi ketika menumpang teduh di rumah seorang penduduk dalam perjalanannya ke kawasan terpencil Kyrgyzstan. Pemilik kediaman yang juga seorang Islam bertanya soalan mengenai solat dan bacaan ayat selepas melihatnya menunaikan solat, sekali gus memperlihatkan pengetahuan asas agama mereka yang agak cetek. 

“Sepanjang perjalanan ke lima negara itu, saya hanya berkomunikasi dengan mereka dalam bahasa isyarat kerana mereka tidak tahu berbahasa Inggeris, saya pula tidak tahu bercakap bahasa tempatan. 

“Bagaimanapun perjalanan saya lancar dan yang lebih menarik, saya tidak mengalami sebarang kejadian tidak diingini atau tayar motosikal pancit biarpun melalui jalan berbukit yang penuh batu kerikil yang turut dikenali sebagai laluan kambing,” katanya. 

Laluan mencabar.. 

Di negara terbabit, hanya minyak petrol RON80 yang dijual kerana harganya lebih murah dan dibeli dengan cara menceduk menggunakan timba. Namun bahan api itu kurang kuasa menyebabkan motosikal yang ditunggang Anita beberapa kali mati enjinnya tatkala memanjat bukit sehingga membuatkannya tergelincir dan jatuh beberapa kali. 

Disebabkan saiz tubuhnya yang kecil, Anita tidak mampu mengangkat motosikal seberat 180 kilogram dengan muatan seorang diri. Setiap kali motosikalnya terjatuh, ibu kepada dua cahaya mata itu terpaksa mengeluarkan semua barang yang diang­kutnya supaya dapat mengang­kat semula motosikal. Namun keadaan itu boleh diibaratkan seperti berdiri di atas air sabun. 

Sebaik motosikal berjaya didirikan, dia memasukkan semula semua barangan yang dibawa ke dalam kotak simpanan kenderaan itu. Bagaimanapun tidak sampai beberapa minit mendaki semula jalan berbatu di bukit, motosikalnya mati enjin dan tergelincir sekali lagi. 

Sememangnya perjalanan di negara terbabit memerlukan kesabaran yang amat tinggi namun dek minat mendalam untuk menikmati keindahan kawasan pergunungan dan pemandangan memukau, semuanya sanggup diharungi Anita.

“Saya juga beberapa kali hilang punca untuk meneruskan perjalanan kerana jalan yang ada sebelum itu terputus dan digantikan dengan sungai kecil apabila salji mencair. Pernah sekali saya terpaksa mengambil masa satu jam mencari sambungan jalan yang terputus walaupun jaraknya tidak sampai 200 meter. 

“Lebih menggembirakan, saya juga pernah dijemput orang tempatan untuk makan bersama dan saya sudah merasai sendiri makan­an tempatan terdiri daripada daging yak, kambing biri-biri Marco Polo, kambing gurun dan keldai. 

“Ada juga pemilik rumah tumpangan sanggup memberikan saya penginapan satu malam secara percuma selepas mendapati saya seorang wanita yang mengembara secara solo dengan motosikal di negara mereka. Mereka menganggap saya begitu berani dan menghargainya,” katanya. 

Disebabkan bergerak menggunakan wang saku sendiri, Anita terpaksa berjimat-cermat dan memasak sendiri, selain tidur dalam khemah di mana saja apabila rasa perlu berehat. 

Hampir RM30,000 habis dibelanjakan dengan separuh daripadanya digunakan untuk membeli minyak petrol. Namun Anita puas dan gembira dapat menjelajah ke kawasan yang ada antaranya tidak pernah dijejaki rakyat Malaysia seperti Laluan Ak Baital pada ketinggian 4,655 meter iaitu laluan kedua tertinggi di dunia yang juga dikenali sebagai ‘bumbung dunia’. 

Yang Menarik..

“Biarpun ada juga yang terkejut dan bertanya sama ada saya takut bergerak seorang diri, terus-terang saya katakan saya tidak takut kerana saya tidak memikirkan perkara yang buruk. Orang tempatan juga sungguh mesra terutama apabila mereka tahu saya dari Malaysia. 

“Bagi saya sekiranya kita sudah mengkaji de­ngan mendalam sesuatu tempat, yakin dan sudah bersedia, tiada apa yang perlu ditakutkan. Lagipun sepanjang perjalanan saya tidak pernah terasa keseorangan dan merasakan Allah sentiasa bersama saya. 

“Saya sentiasa berzikir sepanjang perjalanan dan berasa dekat dengan Allah apatah lagi begitu kagum melihat betapa indahnya ciptaan Tuhan yang terbentang luas di hadapan mata saya,” katanya yang turut bersyukur mendapat sokongan daripada Kedutaan Malaysia di Tashkent, Kementerian Luar Negeri Malaysia serta Ketua Jabatan Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh, Zulkifli Hassan. 

Bagi dirinya yang sudah menjelajah ke 52 negara, Kyrgystan mempunyai keistimewaan tersendiri dan dirasakan negara yang memiliki kecantikan alam semula jadi paling indah berbanding semua negara yang pernah dilawatinya. 

Antara cabaran yang perlu dilaluinya ketika menjelajah ke lima negara terbabit adalah jalan gunung yang curam, licin dan becak, ribut pasir ketika di Afghanistan, angin kencang ketika berada di Uzbekistan dan Tajikistan, glasier mencair dan suhu ekstrem di kawasan pergunungan yang boleh mencecah dua darjah Celsius serta perubahan suhu mendadak. 

“Pernah suatu ketika saya pengsan akibat perubahan suhu yang mendadak. Daripada terlampau sejuk iaitu pada dua darjah Celsius kepada terlampau panas iaitu 56 darjah Celsius dalam tempoh 30 jam. Apabila buka mata, hampir seluruh penduduk kampung di pergunungan di Kalaikhum, Tajikistan sudah mengerumuni saya,” katanya.

Cabaran lain adalah jurang komunikasi bukan saja secara lisan malah tulisan kerana negara terbabit menggunakan bahasa Russia tidak seperti abjad di Malaysia, memaksanya belajar serba sedikit asas bahasa supaya tidak sesat. 

Dia turut menggalakkan kedua-dua anaknya yang sudah meningkat dewasa, Rudy Iskandar Ramli, 24, dan Emiershah Izkandar Ramli, 19, untuk turut mengembara malah mempunyai rancangan melancong ke Eropah bersama-sama sekiranya tidak ada halangan masa.(IH/sumbet myMetro)

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Apa hukum wanita bepergian atau safar tanpa mahram dalam Islam.

Okey, mari kita lihat..

Pengertian safar..

Safar secara bahasa adalah melakukan perjalanan. Safar juga berarti terbuka, disebut demikian  karana orang yang melakukan safar akan terbuka dirinya dari tempat tinggalnya ke tempat yang terbuka. Begitu juga orang yang melakukan safar akan terbuka akhlaq, perilaku dan perangai aslinya, yang selama ini tertutup ketika seseorang tidak mengadakan perjalanan. (Ibnu mandhur, Lisan al-Arab). Sebab itu, wanita yang tidak menggunakan jilbab, sehingga sebahagian anggota tubuhnya terlihat disebut dengan “Safirah“ (wanita terbuka auratnya).

Adapun Safar secara istilah para ulama berbeda pendapat di dalam menentukan batasnya. Majoriti ulama menentukan bahawa safar adalah perjalanan yang jaraknya lebih dari 85 km. Sedangkan sebahagian lainnya mengatakan, batasan suatu perjalanan disebut dengan safar atau tidak, dikembalikan kepada kebiasaan masyarakat masing-masing. Mereka berpedoman dengan kaidah fiqih yang menyatakan:
  • “Setiap istilah yang tidak mempunyai batasan di dalam bahasa Arab, dan tidak pula dalam syariat (al-Qur’an dan sunnah), maka dikembalikan kepada kebiasaan masyarakat.“

Pengertian Mahram

Mahram secara bahasa adalah seseorang yang diharamkan menikah dengannya. (Mukhtar as-Shihah: 1/ 56) Adapun mahram secara istilah adalah seorang lelaki yang diharamkan menikah dengan seorang perempuan selamanya kerana nasab, seperti hubungan bapak, anak, saudara dan paman, atau kerana sebab yang mubah seperti suami, anak suami, mertua, saudara sesusuan.“

BFNTUK SAFAR WANITA: Safar yang dilakukan wanita dibagi menjadi tiga bentuk:

SATU: Safar Mubah, seperti melakukan perjalan untuk rekreasi.

DUA: Safar Mustahab (yang dianjurkan), seperti melakukan perjalanan untuk mengunjungi orang sakit atau  menyambung silaturahim.
Imam Baghawi berkata sebagaimana dinukil oleh Ibnu Hajar dalam Fathu al-Bari (4/76):
  •  “Para ulama tidak berbeda pendapat tentang ketidakbolehan seorang perempuan melakukan perjalanan yang bukan wajib, kecuali harus disertai suaminya atau mahramnya. Kecuali bagi perempuan kafir yang masuk Islam kemudian ingin berhijrah dari Dar al-Harbi (Negara Kafir) atau dia dalam keadaan ditawan musuh dan bisa lepas.“
Pernyataan di atas kurang akurat, kerana pada kenyataannya terdapat perbedaan pendapat dalam masalah ini, seperti yang diriwayatkan dari al-Karabisi salah satu ulama Syafi’iyah yang membolehkan wanita melakukan safar mustahab tanpa disertai mahram.

TIGA: Safar Wajib, seperti melakukan perjalanan untuk melaksanakan ibadah haji, menolong orang sakit dan berbakti kepada orang tua. Jika seorang wanita melakukan safar dalam bentuk ketiga ini tanpa mahram, para ulama  berselisih pendapat tentang status hukumnya:

Pendapat Pertama, mengatakan bahawa seorang wanita tidak boleh melaksanakan ibadah haji kecuali dengan mahramnya. Ini adalah pendapat Abu Hanifah dan Ahmad dalam salah satu riwayat dari beliau.
Mereka berdalil dengan keumuman hadits-hadist yang melarang seorang wanita melakukan safar tanpa mahram, diantaranya adalah hadist Ibnu Abbas RA  bahawa dia mendengar Nabi SAWbersabda :
  • “Janganlah sekali-kali seorang lelaki berkholwat (berduaan) dengan seorang wanita dan janganlah sekali-kali seorang wanita bepergian kecuali bersama mahramnya”. Lalu ada seorang lelaki yang bangkit berkata: “Wahai Rasulullah, aku telah mendaftarkan diriku untuk mengikutu suatu peperangan sedangkan isteriku pergi menunaikan hajji”. Maka Beliau bersabda: “Tunaikanlah hajji bersama isterimu” (HR Bukhori)
Hadits di atas menunjukkan bahawa mahram adalah syarat wajib haji bagi seorang wanita muslimah.

Pendapat Kedua, mengatakan bahawa seorang wanita muslimah dibolehkan melaksanakan ibadah haji tanpa mahram.  Dan mahram bukanlah syarat wajib haji bagi seorang wanita muslimah. Ini adalah pendapat Hasan Basri, Auza’I, Imam Malik Syafi’I, dan Ahmad dalam salah satu riwayat dari beliau, serta pendapat Dhahiriyah. Pendapat ini dipilih oleh Ibnu Taimiyah dalam riwayat terakhir beliau. (al-Majmu’: 8/382, al-Furu’: 3/ 177)

Imam Malik menyatakan bahawa mahram boleh diganti dengan rombongan wanita yang boleh percaya selama perjalanan aman. Berkata Imam al Baji al-Maliki :
  • “Adapun yang disebut oleh sebagian ulama dari teman-teman kami, itu dalam keadaan sendiri dan jumlah yang sedikit. Adapun dalam keadaan jumlah rombongan sangat banyak, sedang jalan – yang dilewati – adalah jalan umum yang ramai dan aman, maka bagi saya keadaan tersebut seperti keadaan dalam kota yang banyak pasar-pasarnya dan para pedagang yang berjualan, maka seperti ini dianggap aman bagi wanita yang bepergian tanpa mahram dan tanpa teman wanita. “ (al-Muntaqa : 3/17)
Dalil mereka sebagai berikut :

Dalil Pertama: Hadist Adi bin Hatim, bahawa Nabi SAW bersabda :
  • “Seandainya kamu diberi umur panjang, kamu pasti akan melihat seorang wanita yang mengendarai kendaraan berjalan dari Al Hirah hingga melakukan thawaf di Ka’bah tanpa takut kepada siapapun kecuali kepada Allah”.  (HR. Bukhari)
Hadit di atas berisi tentang pujian dan sanjungan pada suatu perbuatan, hal itu menunjukkan kebolehan. Sebaliknya hadist yang mengandung celaan  kepada suatu perbuatan menunjukkan keharaman perbuatan tersebut. (Umdatu al-Qari : 16 /148)

Dalil Kedua: Atsar Ibnu Umar.
  • Dari Ibnu Umar bahawa beliau memerdekakan beberapa hamba perempuannya. Kemudian beliau berhaji dengan mereka. Setelah dimerdekakan, tentunya mereka bukan mahram lagi bagi Ibnu Umar. Bererti para wanita tersebut pergi haji tanpa mahram. (Disebutkan Ibnu Hazm dalam al-Muhalla) 
Dalil Ketiga: Atsar Aisyah.
  • “Dari Aisyah tatkala ada orang yang menyampaikan kepada beliau bahwa mahram adalah syarat wajib haji bagi wanita muslimah, beliau berkata:  “Apakah semua wanita memiliki mahram untuk pergi haji?!” (Riwayat Baihaqi)

Dalil Keempat: Kaidah Fiqhiyah.
  • “ Dalam masalah ibadah mahdha dasarnya adalah  ta’abbud, ( menerima apa adanya tanpa dicari-cari alasannya, seperti jumlah rekaat sholat) dan dalam masalah mu’amalat dasarnya adalah ta’lil.( boleh dicerna dengan akal dan dapat dicari alasannya, seperti jual beli dan pernikahaan ) ”
Masalah safar wanita termasuk dalam katagori mu’amalat, sehingga boleh kita cari alasan dan hikmahnya iaitu untuk menjaga keselamatan wanita itu sendiri dan ini wujud dengan adanya teman-teman wanita yang boleh percaya apalagi dalam jumlah yang banyak dan jalan dianggap aman.

Dalil Kelima: Kaidah Fiqhiyah
  • “Hukum yang ditetapkan dengan ijtihad boleh berubah menurut perubahan waktu, keadaan, tempat dan perorangan.“
Berdasarkan kaidah di atassebahagian ulama kontemporer seperti Syekh Abdurrozaq Afifi (Fatawa wa Rasail: 1/201) membolehkan seorang wanita bepergian sendiri atau bersama beberapa temannya yang boleh dipercaya dengan naik pesawat, diantar oleh mahramnya ketika pergi dan dijemput juga ketika datang.  Bahkan keadaan seperti ini jauh lebih aman dibanding jika seorang wanita berjalan sendiri di dalam kota, khususnya kota-kota besar.

Dalil Keenam: Kaidah Fiqhiyah.
  • “Apa-apa yang diharamkan kerana dzatnya, tidaklah dibolehkan kecuali dalam keadaan darurat, dan apa-apa yang diharamkan dengan tujuan menutup jalan ( kemaksiatan ), maka dibolehkan pada saat diperlukan “
Ke'tidakboleh'an wanita melakukan safar tanpa mahram, tujuannya untuk menutup jalan maksiat dan bahaya baginya, maka hal itu menjadi dibolehkan manakala ada keperluan, khususnya jika ditemani dengan rombongan yang dipercaya dan keadaan jalan aman.

Kesimpulan:

Pendapat yang kuat bahawa mahram bukanlah syarat wajib haji bagi wanita muslimah berdasarkan hadist dan atsar di atas. Tetapi boleh bersama rombongan perempuan yang boleh percaya, khususnya jika keadaan aman. Adapun hadist Ibnu Abbas yang mensyaratkan mahram, tetapi peristiwa tersebut bukan pada haji wajib, tetapi pada haji yang sunnah. Kerana haji baru diwajibkan pada tahun 10 H, dimana Rasulullah pada waktu itu juga melaksanakan ibadah haji.

Walaupun demikian, diharapkan bagi wanita yang ingin melaksanakan haji dan umrah atau melakukan safar wajib lainnya, hendaknya bersama mahramnya, kerana itu lebih terhindar dari fitnah dan marabahaya lainnya. Ini pada safar wajib, tentunya dalam safar mubah dan mustahab lebih ditekankan lagi.  Tetapi dalam keadaan-keadaan tertentu yang diperlukan sangat, kita boleh mengambil pendapat ulama membolehkan dengan syarat-syarat yang sangat ketat.

Dengan demikian Islam dipahami sebagai agama yang selalu menjaga kehormatan dan keselamatan wanita, sekaligus memberikan solusi-solusi yang dipertanggung jawabkan baik secara agama mahupun secara sosial, disaat tidak ada pilihan lain.

Itu dalam soal wajib haji.. Bagaimana dengan wanita seperti di atas, merentas 5 negara Asia Tengah, secara solo dengan motosikal?

DIANGKAT DARI IBNUHASYIM.COM





Tiada ulasan:

Pengurusan Jenazah Percuma

Pengurusan Jenazah PERCUMA Ada, Kenapa Pilih Yang Berbayar? Duit yang ada, boleh simpan. Selesaikan hutang Si Mati . Simpan untuk kegunaan i...