Khamis, 22 Disember 2022

Tolak Pemimpin Khianat

Minda Presiden PAS

𝗧𝗢𝗟𝗔𝗞 𝗣𝗘𝗠𝗜𝗠𝗣𝗜𝗡 𝗕𝗘𝗥𝗕𝗢𝗛𝗢𝗡𝗚 𝗗𝗔𝗡 𝗠𝗘𝗡𝗜𝗣𝗨

Firman Allah SWT:

﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لِمَ تَقُولُونَ مَا لَا تَفۡعَلُونَ٢ كَبُرَ مَقۡتًا عِندَ ٱللَّهِ أَن تَقُولُواْ مَا لَا تَفۡعَلُونَ٣﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? (2); Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan. (3)” (Surah al-Saff: 2-3)

Sebab wahyu ini diturunkan kerana ada dalam kalangan mereka yang bercakap berdegar-degar bagi menunjukkan semangat perjuangannya. Akan tetapi, apa yang diucapkan itu tidak diamalkan apabila mereka diberikan peluang untuk berjuang, sehingga mereka mendapat kemurkaan yang besar daripada Allah SWT. 

Selain itu, ayat ini juga ditujukan kepada semua perkara yang berkait dengan hukum haram seseorang itu berbohong, mungkir janji dan menipu. Bahkan, dikira memiliki sifat orang-orang munafiq, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

‌آيَةُ ‌الْمُنَافِقِ ‌ثَلَاثٌ: ‌إِذَا ‌حَدَّثَ ‌كَذَبَ، ‌إِذَا ‌وَعَدَ ‌أَخْلَفَ، وَإِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ. 

“Tanda-tanda munafiq itu ada tiga: Apabila bercakap dia berbohong, dan apabila berjanji tidak ditunaikan dan apabila diberikan amanah pula dikhianatinya.” (Riwayat al-Bukhari, no. 33 dan Muslim, no. 59)

Al-Quran adalah petunjuk sepanjang jalan dan zaman kepada seluruh manusia, bukan sahaja pada satu zaman, tempat atau satu kaum tertentu sahaja. 

Kalam Allah dan ilmu-Nya yang tidak terhingga, wajib diimani akan kebenarannya. Oleh itu, semua perkara yang berlaku dalam kehidupan manusia yang telah diceritakan itu tetap akan berulang. 

Maka, dinyatakan bahawa segala perkara yang baik wajib diamalkan, bagi mendapat kebaikan di dunia dengan janji pahala di akhirat. Adapun perkara yang jahat dan buruk hendaklah dijauhkan kerana ia akan membinasakan diri manusia di dunia dan alam sekelilingnya, serta mendapat balasan dosanya di akhirat kelak.

Kita pernah menyaksikan pesta Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dahulu, selepas itu terbentuk sebuah kerajaan campuran bersama Pakatan Harapan (PH) yang menjadi tonggak kemenangan, hasil gabungan daripada beberapa parti yang bersaudara. DAP menjadi abang besar, selepasnya PKR dan diciptakan parti bernama Amanah, diikuti pula oleh kumpulan-kumpulan kecil NGO Islam dan bukan Islam yang mendukungnya. 

Ketika muqaddimah kempennya lagi sudah menunjukkan dengan penuh bersemangat akan menurunkan harga petroleum dalam tempoh masa 24 jam, tol akan dihapuskan, hutang PTPTN akan diselesaikan secepat kilat. Maka, menanglah PH dengan gelombang tsunami PRU-14 kerana janji-janji tersebut.

Apabila ternyata cakapnya tidak serupa bikin, jatuhlah kerajaan PH yang tersungkur ke hadapan, bukannya kerana pintu belakang atau Langkah Sheraton seperti yang dinyatakan.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kali ini pula dimainkan dan diapi-apikan isu menentang rasuah, salah laku, perompak, penyamun, penyeleweng, penyangak, salah urus dan segala nama kesalahan yang meresahkan masyarakat umum yang membocorkan hasil negara. Semua itu dijadikan modal kempen mereka bagi menarik sokongan rakyat, disertakan pula dengan janji yang luar biasa di luar kemampuan untuk dilaksanakan, semata-mata untuk memancing undi rakyat. 

Kini, mereka mula menunjukkan tembelangnya yang sebenar dengan politik yang menghalalkan segala cara bagi mendapatkan kuasa. Malangnya, mereka ditolak oleh anak muda yang mewujudkan gelombang di seluruh kawasan majoriti Melayu. 

Kejayaan PH yang bergabung bagi membentuk kerajaan, dicukupkan jumlah dengan gabungan segala puak dan individu yang melakukan kemungkaran yang menjadi sasaran mereka dalam masa kempen pilihan raya. Puak yang mereka senaraikan dalam kalangan yang tidak bermoral, dikatakan perasuah, perompak, lanun dan sebagainya. 

Golongan itu terdiri daripada kalangan yang telah disabitkan kesalahannya dan dihukum tidak bermoral, atau yang masih dibicarakan menjadi kluster mahkamah. Begitu juga, kalangan yang telah diberhentikan perbicaraan mahkamah atau yang boleh diragukan sifat peribadinya dan telah dikesan DNA-nya. 

Sifat buruk ini dilakukan kerana mereka terlalu bersemangat penuh rakus dan gila akan jawatan yang menghantui para pemimpinnya. Justeru, terserlah kebenaran sifat yang dilarang oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya:

يَا عَبْدَ الرَّحْمَنِ بْنَ سَمُرَةَ، ‌لَا ‌تَسْأَلِ ‌الإِمَارَةَ، ‌فَإِنَّكَ ‌إِنْ ‌أُعْطِيتَهَا ‌عَنْ ‌مَسْأَلَةٍ وُكِلْتَ إِلَيْهَا، وَإِنْ أُعْطِيتَهَا عَنْ غَيْرِ مَسْأَلَةٍ أُعِنْتَ عَلَيْهَا.

“Wahai ‘Abdul Rahman bin Samurah, janganlah kamu meminta-minta untuk menjadi pemimpin. Maka, jika kamu diberikan jawatan dengan rakus meminta-minta, nescaya dibebankan kepada kamu (tanpa pertolongan dan petunjuk Allah). Jika jawatan itu diberikan bukan dengan cara meminta-mintanya, nescaya kamu akan diberikan pertolongan (oleh Allah dan mendapat petunjuknya).” (Riwayat al-Bukhari, no. 7146 dan Muslim, no. 1652)

Dan juga sabda Rasulullah SAW:

إِنَّا ‌وَاللهِ ‌لَا ‌نُوَلِّي عَلَى هَذَا الْعَمَلِ أَحَدًا سَأَلَهُ، وَلَا أَحَدًا ‌حَرَصَ ‌عَلَيْهِ. 

“Sesungguhnya, demi Allah! Aku tidak akan melantik orang yang bernafsu meminta-minta untuk menjadi ketua atau orang yang terlalu bernafsu dengan memintanya.” (Riwayat al-Bukhari, no. 7149 dan Muslim, no. 1733)

Amaran Rasulullah SAW itu telah menjadi pilihan dalam kalangan PH yang menghalalkan segala cara.

Kumpulan ini juga akhirnya berjaya mengambil alih kerajaan dengan cara di luar tabii daripada demokrasi yang biasa diamalkan di seluruh dunia.

Percayalah hasil tanaman politik daripada benih-benih tersebut akan membuahkan akibatnya secara berturut-turut, sehinggakan ia akan meruntuhkan kerajaannya sendiri dan menimpa para penumpangnya sekali. 

Demikianlah itu sifat yang pernah menimpa kaum yang dimurkai Allah SWT dan diminta supaya berdoa agar tidak menjadi sepertinya dalam setiap rakaat solat, mereka itulah kumpulan yang dimurkai Allah (المغضوب عليهم). Hal mereka ini telah didedahkan oleh firman Allah SWT:

﴿أَتَأۡمُرُونَ ٱلنَّاسَ بِٱلۡبِرِّ وَتَنسَوۡنَ أَنفُسَكُمۡ وَأَنتُمۡ تَتۡلُونَ ٱلۡكِتَٰبَۚ أَفَلَا تَعۡقِلُونَ٤٤﴾

“Mengapa kamu menyuruh orang lain (mengerjakan) kebaktian, sedangkan kamu melupakan (kewajipan) diri kamu sendiri, padahal kamu semua membaca al-Kitab (Taurat)? Maka, tidakkah kamu berfikir?” (Surah al-Baqarah: 44)

Begitulah juga kamu menentang kemungkaran, tiba-tiba kamu membiarkannya apabila kamu sudah berkuasa dan akan mudah melakukannya.

Dari aspek yang lain, mereka melakukan pembohongan dengan memutarbelitkan kesedaran politik Islam dalam kalangan orang Melayu yang dianggap menjadi penghalang besar kepada perjuangan ideologinya yang salah. Pada masa yang sama, mendedahkan agenda penjajahan baharu yang wujud di sebaliknya.

Perkara tersebut dilakukan bagi menghilangkan semangat untuk kembali kepada Islam dalam kalangan bangsa Melayu yang menjadi kaum penganut Islam terbesar di negara ini. Hal ini termasuklah untuk mengelakkan daripada terbelanya kaum bumiputera yang dipinggirkan, kerana kaum lain juga pasti selamat dengan sebuah kerajaan yang bersih dan stabil. 

Apabila adanya seruan untuk menyelamatkan bangsa ini bersama Islam, maka perbuatan itu terus dilabel sebagai perkauman dan dicanangkan label Islamofobia. Ini disebabkan ada bersamanya PAS yang telah diketahui berjaya memerintah beberapa negeri dengan berjaya, berintegriti dan bersih. 

Turut didedahkan apabila berlaku kemaraan Melayu Islam dalam politik terkini melalui PRU-15 baru-baru ini, meningkatnya sokongan kepada PAS yang berwajah Islam dalam politiknya dan kejayaan yang dicapai bersama oleh PAS dengan rakan-rakan Perikatan Nasional (PN). Keadaan sedemikian menyebabkan berlaku pembahagian yang mendedahkan siapakah sebenarnya yang membawa agenda perkauman dan anti-Islam.

Isu perkauman (rasis) mula dibangkitkan terhadap orang Melayu Islam, apabila dinyatakan perlunya ada kekuatan politik, pendidikan dan ekonomi orang Melayu, di samping bumiputera bukan Islam yang ditindas sejak zaman penjajah lagi. Golongan ini terus dijahilkan selepas mencapai kemerdekaan dan tidak terbela sehingga kini sebagaimana sepatutnya, sehinggalah kedudukan mereka terancam dalam tanah airnya sendiri. 

Orang Melayu Islam termasuk bumiputera menunjukkan tingkah laku paling tidak perkauman dan amat bertoleransi terhadap masyarakat majmuk bukan Melayu, bukan Islam dan bukan bumiputera. Bahkan, turut membenarkan penggunaan bahasa kaum masing-masing, termasuk mewujudkan sekolah kebangsaan Cina dan Tamil yang tidak dibenarkan di negara lain selain daripada Malaysia. 

Apabila dibangkitkan isu Bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan dan tulisan Jawi supaya diperkasakan, maka tindakan itu dianggap sudah melampaui batas kaum dan agama. Malah, apabila diajak kepada pelaksanaan syariat Islam kepada umat Islam sahaja mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan dan proses perubahan yang perlu dilakukan secara demokrasi, maka tindakan itu dianggap sebagai perbuatan melampau dan ditakut-takutkan masyarakat dengan mencetuskan Islamofobia. Malah mereka turut membela orang Islam yang murtad.

Mereka menuduh secara jahil dan jahat terhadap hukum Allah yang adil dan wasatiyyah dengan adab dan syarat pelaksanaan yang ketat sehingga menyukarkan bagi menjatuhkan hukuman dan cara hukuman. Namun hukuman dalam Islam adalah mendidik masyarakat, tidak melampau dan tidak kejam. 

Mereka sebenarnya tidak peduli betapa kejamnya undang-undang jakun Barat seperti undang-undang hukuman mati di tali gantung dan hukuman sebat yang menyeksa atau hukuman yang longgar sehingga membebaskan pembunuh yang kejam tanpa hukuman mati dan sebagainya, serta bersikap liberal yang membebaskan manusia seperti binatang.

Sekarang DAP yang sebenarnya membawa agenda cauvinisme dan murtad sudah tidak perlu bersuara, kerana mereka telah berjaya mengadakan bala tentera Melayu yang tidak bermaruah agama dan bangsa dalam kalangan DAP sendiri, PKR, Amanah dan NGO yang bersamanya, sekali gus melantangkan suara bagi pihak DAP. 

Kini, mereka pula berjaya menarik daripada kalangan UMNO yang menyerah kalah demi kepentingan diri tertentu sahaja. Sehinggakan, UMNO telah meninggalkan asas perjuangan untuk mempertahankan agama, bangsa dan negara, serta melanggar resolusi Perhimpunan Agung mereka yang menolak untuk bekerjasama dengan DAP dan angkatannya.

Kami percaya terdapat sebahagian besar pemimpin UMNO tidak redha dengan langkah songsang oleh segelintir pemimpin mereka, bahkan ada yang secara terbuka melakukan protes.

Kenyataan yang sebenar dalam PRU-15 yang lalu, DAP dan parti-parti sekutunya hanyalah memperoleh kemenangan dengan mengerahkan pengundi bukan Islam yang diugut dengan Islamofobia, dari seluruh pelosok tanah air sehingga luar negara dan seluruh penjuru dunia. Akhirnya, peratusan golongan bukan Islam yang keluar mengundi mencecah jumlah 98 peratus, namun mereka hanya memperoleh beberapa peratus yang kecil daripada undi orang Melayu Islam termasuk sebahagian yang berijazah.

Manakala PN mendapat sokongan 60 peratus pengundi Melayu Islam, bersama sokongan sebahagian besar pemimpin dan akar umbi UMNO yang masih setia kepada agama dan bangsanya. Termasuklah sokongan parti bukan Melayu yang tidak fanatik perkauman seperti parti Gerakan, MCA, MIC, termasuk Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP), dan lain-lain. Akan tetapi, PN tidak dilayan secara sopan. 

Walaupun PN telah melaksanakan pendekatan kerjasama mengikut adab demokrasi dan undang-undang, dengan mencapai kerusi yang boleh bertahan untuk mendapat kuasa politik yang sebenar secara demokrasi. Malangnya, ia dipintas dengan dilakukan pembentukan kerajaan secara luar tabii daripada amalan demokrasi yang sebenar dengan tipu daya dan putar belit yang sudah diketahui umum. 

DAP dan rakan-rakannya terus melatah tidak mampu mengawal perasaan kebenciannya terhadap Islam, Melayu dan bumiputera, apabila membawa isu mengenai bahaya gelombang hijau. Perkara ini sekali gus mendedahkan warna kemerahan anti-Islam yang ada dalam diri mereka bersama parti-parti lain, laksana gerobak kereta api di belakangnya yang sebenarnya membawa bahaya kepada negara dan rakyat, termasuk rakyat bukan Islam dalam masyarakat majmuk ini.    

Apabila hendak dilakukan protes terhadap amalan yang salah mengikut adab dan akhlak demokrasi sebenar yang adil dan telus, tiba-tiba mereka berhujah dengan mengulangi apa yang pernah dilakukan oleh penjajah pada zaman dahulu dengan menonjolkan isu melawan raja bukannya melawan penjajah. 

Keadaan ini mengulangi kembali cerita perjuangan menentang penjajah dahulu, dipusing jalan cerita kononnya untuk melawan raja, istana dan pemimpin masyarakat. Sehingga menyebabkan ada yang terperangkap dalam penipuan Perjanjian Pangkor 1874 dan perjanjian lain sebelum dan selepas itu, dengan menjemput penjajah secara percuma atau menggadaikan maruah serta tanah air dengan harta dan pangkat.

Kenyataan sebenar Istana Negara sekiranya dibaca dengan teliti dan berhemah adalah berlainan dengan kenyataan politik para pemimpin PH yang cuba berbohong dan berselindung di belakang gambar Istana Negara. Istilah Kerajaan Perpaduan cuba dinyatakan dengan menyalahi maknanya yang sebenar. 

Malah, istilah Kerajaan Minoriti juga tidak tepat mengikut istilah ilmu politik, walaupun bagi mencukupkan pembentukan sebuah kerajaan terpaksa digabungkan semua parti menjadi satu atas nama PH, bukannya mengikut parti masing-masing seperti DAP, PKR, dan Amanah. Sebaliknya akuan bersumpah (SD) yang telah diusahakan oleh PN daripada berbagai-bagai parti secara amalan demokrasi tidak dilayan.

Kini bukan lagi zaman penjajahan. Isu lama dan basi sudah boleh difahami oleh rakyat yang peka, khususnya dalam kalangan generasi muda yang paling ramai mengundi PN baru-baru ini dan membaca semula sejarah yang sebenar. 

Inilah zaman yang telah dinyatakan oleh mukjizat melalui sabda Rasulullah SAW:

سَيَأْتِي عَلَى النَّاسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتُ، ‌يُصَدَّقُ ‌فِيهَا ‌الْكَاذِبُ، ‌وَيُكَذَّبُ ‌فِيهَا ‌الصَّادِقُ، ‌وَيُؤْتَمَنُ ‌فِيهَا ‌الْخَائِنُ، وَيُخَوَّنُ فِيهَا الْأَمِينُ، وَيَنْطِقُ فِيهَا الرُّوَيْبِضَةُ. 

“Akan tiba masanya kepada orang ramai, tahun-tahun yang banyak berlaku penipuan. Dipercayai orang yang berbohong, dibohongi orang yang benar. Diberikan amanah kepada pengkhianat, dikhianati orang yang benar-benar amanah. Kemudian golongan al-Ruwaibidhah (orang-orang jahil agama) banyak bercakap.”

قِيلَ: وَمَا الرُّوَيْبِضَةُ؟ 

Baginda SAW ditanyakan: “Wahai Rasulullah! Siapakah itu golongan al-Ruwaibidhah itu?”

قَالَ: الرَّجُلُ التَّافِهُ يَتَكَلَّمُ فِي أَمْرِ الْعَامَّةِ.

Rasulullah SAW bersabda: “Orang jahil bercakap perkara besar yang menyentuh orang ramai.” (Riwayat Ibn Majah, no. 4036 dan Ahmad, no. 7912)

Kemudiannya, dijelaskan lagi akan berlaku kehancuran dunia (kiamat), apabila hilangnya amanah. Apabila ditanya bagaimanakah cara hilangnya, maka Rasulullah SAW bersabda:

‌إِذَا ‌وُسِّدَ ‌الأَمْرُ ‌إِلَى ‌غَيْرِ ‌أَهْلِهِ ‌فَانْتَظِرِ ‌السَّاعَةَ.

“Apabila diserahkan urusan mentadbir umat kepada orang yang tidak layak, maka nantikanlah berlakunya kehancuran (kiamat).” (Riwayat al-Bukhari, no. 59)

Antara sifat yang tidak melayakkan seseorang itu menjadi pemimpin ialah berbohong dan menipu rakyat. Hal ini dijelaskan oleh sabda Rasulullah SAW:

‌ثَلَاثَةٌ ‌لَا ‌يُكَلِّمُهُمُ ‌اللهُ ‌يَوْمَ ‌الْقِيَامَةِ، وَلَا يَنْظُرُ إِلَيْهِمْ، وَلَا يُزَكِّيهِمْ، وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ: شَيْخٌ زَانٍ، وَمَلِكٌ كَذَّابٌ، وَعَائِلٌ مُسْتَكْبِرٌ.

“Tiga jenis manusia yang Allah tidak mempedulikannya pada Hari Kiamat kelak, tidak membersihkan segala dosanya dan untuknya azab yang pedih; orang tua yang berzina, raja atau pemimpin yang berbohong dan orang miskin yang sombong.” (Riwayat Muslim, no. 106)

Hadis ini menunjukkan amaran Rasulullah SAW akan dosa besar dan akibat buruk di dunia dan akhirat, bersama pemimpin yang berbohong dan menipu.

Firman Allah SWT:

﴿يَوۡمَ نَدۡعُواْ كُلَّ أُنَاسِۢ بِإِمَٰمِهِمۡۖ فَمَنۡ أُوتِيَ كِتَٰبَهُۥ بِيَمِينِهِۦ فَأُوْلَٰٓئِكَ يَقۡرَءُونَ كِتَٰبَهُمۡ وَلَا يُظۡلَمُونَ فَتِيلٗا٧١ وَمَن كَانَ فِي هَٰذِهِۦٓ أَعۡمَىٰ فَهُوَ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ أَعۡمَىٰ وَأَضَلُّ سَبِيلٗا٧٢﴾

“(Ingatlah) suatu hari (yang di hari itu) Kami panggil tiap umat dengan pemimpinnya; dan sesiapa yang diberikan kitab amalannya pada tangan kanannya, maka mereka ini akan membaca kitabnya itu, dan mereka tidak dianiaya sedikit pun. (71); Dan sesiapa yang buta (hatinya) di dunia ini, nescaya di akhirat (nanti) dia akan lebih buta (pula) dan lebih tersesat dari jalan (yang benar). (72)” (Surah al-Isra’: 71-72)

Maka hendaklah berhati-hati dan berfikir secara matang, apabila ingin memilih pemimpin dan menjadi pengikutnya.

Firman Allah SWT:

﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَلۡتَنظُرۡ نَفۡسٞ مَّا قَدَّمَتۡ لِغَدٖۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ١٨ وَلَا تَكُونُواْ كَٱلَّذِينَ نَسُواْ ٱللَّهَ فَأَنسَىٰهُمۡ أَنفُسَهُمۡۚ أُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ١٩﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat); dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (18); Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasiq. (19)”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 27 Jumadal Ula 1444 / 22 Disember 2022

[Bil: 71 / 2022]

https://harakahdaily.net/index.php/2022/12/22/tolak-pemimpin-berbohong-dan-menipu/

#HarakahDaily

Selasa, 6 Disember 2022

ANWAR IBRAHIM

Agak cemerkap dan terdesak untuk seseorang pemimpin gunakan sidang media official dan kapasitinya sebagai penjawat awam untuk serang parti lawan dengan tuduhan serius tanpa kemukakan bukti yang kukuh. Dia masih in the state of denial orang melayu dah tolak parti dia. Cuba fikir balik mana PH dapat fund untuk print poster, banner, organize ceramah, duitnya sama saja macam PN dapat, political donation dari syrikat swasta, dia akan bagi both side diam-diam. Cuma, macam la takdak syarikat lain nak derma selain Sports Toto, banyak lagi syarikat lain boleh derma dan kalau dah kata ada kuasa tutup sajalah Sports Toto dan Genting tu setel problem.

Satu lagi tak pasai-pasai pulak dia pi serang  Syed Mokthar sebagai monopoli. Kali terakhir Bernas publish untung bersih kat public adalah pada tahun 2012 dan mencatatkan penurunan 60% sebab Bernas kena import sejumlah besar dari luar, kalau ikut trajectory nilai ringgit yang semakin lemah dan perang Russia Ukraine harga baja makin mahal, untung Bernas pon akan kurang dan bukan untung sangat pon bisness beras ni macam Faiza SDN. BHD.
Berpuluh-puluh tahun Robert Kuok buat keuntungan dengan CSR ketika subsidi gula masih ada, bila subsidi gula ditarik balik sapa yang ambik inisiatif untuk beli CSR daripada jatuh kepada syarikat luar untuk mengelakkan dari harga gula jadi tak terkawal?, Syed Mokhtar juga.
Syarikat besar seperti Tradewinds yang pegang Bernas dipunya oleh Syed Mokhtar ni, buat profit dari economic of scale, makna kata dia tingkatkan efficiency dengan properly utilize sumber macam mesin, logistik, pengurusan, marketing dan pengagihan. Syarikat kecik payah nak buat macam ni, pi fitnah orang tu bukan-bukan tah tah orang tu buat fardhu kifayah saja.
Anda tanya la diri sendiri macam mana pemimpin macam ni nak urus negara yang saiz ekonominya RM 4.5 trillion dan berbilang bangsa dan agama.

Pengurusan Jenazah Percuma

Pengurusan Jenazah PERCUMA Ada, Kenapa Pilih Yang Berbayar? Duit yang ada, boleh simpan. Selesaikan hutang Si Mati . Simpan untuk kegunaan i...