Ahad, 27 Julai 2025

Doa

Doa, Ibadah Sang Hamba

Doa itu ibadah,
demikian sabda Rasulullah,
rintihan hamba yang tunduk dan pasrah.
Bukan untuk dibangga-banggakan,
bukan pula senda mainan lidah,
bukan demi upah dunia yang murah,
atau mengampu demi mencari haibah,
apatah lagi menjadi alat dalam kancah siasah.

Doa itu menyeru Allah—
Rabb Yang Maha Mengetahui,
segala yang tersirat di sebalik madah,
segala yang bergelora dalam dada,
walau belum sempat diluah oleh kata.


Imam Perang Ani Noniang

Khamis, 24 Julai 2025

SIAM VS KEMBOJA

THAILAND vs. KEMBOJA: GADUH APA LAGI

Beberapa jam yang lalu, konflik bersenjata tercetus di sempadan Thailand dan Kemboja. 

Setakat ini dilaporkan seramai 11 orang awam Thailand terbunoh.

Konflik kali ni bukanlah berlaku secara tiba-tiba, tapi lanjutan daripada krisis yang dah berlarutan sejak Mei lalu.

PM Thailand, Paetongtarn, pun digantung jawatan sebab isu ni.

Dia cuba selesaikan krisis dengan pendekatan "slow talk" dengan Hun Sen, bekas PM Kemboja merangkap bapa kepada PM sekarang, Hun Manet. Tapi cara dia tu dikritik rakyat Thailand sebab dianggap terlalu lembut, sampai menggadaikan maruah negara.

So, apa sebenarnya isu?

Isunya ialah sempadan Thailand–Kemboja di sepanjang timur Thailand dan barat Kemboja, dari kawasan Ta Muen Thom (dalam bahasa Thai) atau Ta Moan Thom (bahasa Kemboja), sampai ke Preah Vihear.

Kawasan ni memang sensitif kepada kedua-dua negara sebab kat sini ada banyak kuil Hindu-Buddha (prasat) purba yang sangat bersejarah.

Pemilikan kuil-kuil ni dilihat sebagai simbol siapa yang lebih “asli” sebagai penduduk kawasan tu.

Sebelum bangsa Siam/Thai muncul sebagai kuasa besar di Indochina, empayar Khmer (nenek moyang orang Kemboja) pernah menguasai sebahagian besar kawasan yang sekarang jadi wilayah timur Thailand, termasuk kawasan kuil-kuil purba ni.

Bila kerajaan Siam mula bangkit dan berkembang, empayar Khmer mula merosot. Kawasan tersebut akhirnya dikuasai oleh Siam.

Manakala Kemboja pula dijajah oleh Perancis pada tahun 1863, menjadi sebahagian daripada Indochina Perancis (French Indochina).

Tapi Perancis tak puas dengan kawasan Khmer yang mereka kuasai. Jadi pada tahun 1907, Perancis paksa Siam serahkan beberapa wilayah yang dulunya milik Khmer kepada mereka.

Sempadan yang digariskan oleh Perancis tu pula betul-betul melalui kawasan kuil-kuil purba, menyebabkan ada kuil yang jatuh ke tangan Thailand (macam Ta Muen Thom), dan ada yang jatuh ke tangan Kemboja (macam Preah Vihear).

Lepas Khmer merdeka daripada Perancis pada 1953, dan muncul sebagai negara Kemboja moden, diorang mewarisi sempadan kolonial yang ditinggalkan.

Dari situlah bermula perbalahan sempadan antara Thailand dan Kemboja. Thailand nak tuntut kuil yang sekarang dikawal oleh Kemboja. Kemboja pula nak kuil yang dikuasai oleh Thailand.

Perebutan pasal Preah Vihear jadi paling tegang, membawa kepada konflik bersenjata dari 2008 hingga 2011, yang akhirnya diselesaikan melalui keputusan ICJ yang memihak kepada Kemboja.

Walaupun konflik reda seketika, hubungan kedua-dua negara masih tegang sampai hari ni. Tentera sempadan masing-masing pun kerap buat provokasi.

Dan pada 28 Mei lalu, sekali lagi isu ni kembali panas selepas berlaku pertempuran antara tentera Thailand dan Kemboja di sempadan.

Thailand tuduh Kemboja yang mulakan. Kemboja pula tuduh Thailand. Kita sebagai orang luar pun tak pasti siapa yang betul.

Ada yang lihat konflik ni dipanaskan oleh pihak tertentu untuk agenda politik dalaman, terutamanya dari pihak Kemboja.

Spekulasi kata PM Hun Manet tengah gunakan isu sempadan ni untuk pupuk sentimen nasionalisme. Mungkin nak kukuhkan sokongan, atau alih perhatian daripada isu lain.

Ini bukan benda baru. Bapanya, Hun Sen, pun dulu guna taktik sama bila kedudukan politiknya goyah.

Konflik kali ni mungkin akan lerai macam tahun 2011, kalau ada campur tangan diplomatik. Tapi tak mustahil juga kalau keadaan semakin tak terkawal.

Ini betul-betul ujian besar untuk Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ni. Dah lah ASEAN pun tengah serabut dengan isu tarif Amerika, ni diorang pula tambah masalah. Apalah.

Bukan nak salahkan Barat 24 jam, tapi konflik kali ni sekali lagi tunjukkan yang kesan tindakan kuasa-kuasa besar Barat zaman dulu memang masih menghantui kita.

Dan kita yang mewarisi "struktur penjajah" ni, akhirnya terperangkap dalam konflik yang tak ada penyelesaian.

sumber:- lebai Google

syukur

Bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada yang berbuat baik lambang manusia yang mempunyai iman dan hati budi sebagai insan

Rabu, 2 Julai 2025

solat pakai kasut

Jangan pelik lihat orang solat dalam keadaan memakai selipar atau kasut di airport, tepi jalan dan sebagainya. Ini kerana Rasulullah dan para sahabat juga mendirikan dengan memakai selipar dan tidak memakai selipar.

Imam Bukhari ada meletakkan bab dalam Sahihnya باب الصلاة في النعال yang bermaksud Bab Mendirikan solat dengan memakai capal / selipar. 

Setelah itu, al-Bukhari meletakkan riwayat tentang Anas bin Malik pernah ditanya:

 أكان النبي صلى الله عليه وسلم يصلي في نعليه قال نعم  

"Adakah Rasulullah kebiasaannya mendirikan solat dengan memakai capal/selipar? Anas menjawab ya" (Sahih al-Bukhari)

Para fuqaha berbeza pandangan berkaitan hukum solat dengan memakai selipar ini adakah termasuk dalam perkara yang sunat ataupun harus sahaja. 

Pertama: Memakai selipar untuk mendirikan solat itu termasuk perkara sunat seperti disebutkan daripada nukilan terhadap al-Tahawi, Ibn Taimiyah dan nukilan terhadap guru kepada Ibn Muflih.

Kedua: Memakai selipar itu ia sekadar harus sahaja tanpa dianjurkan, seperti disebutkan oleh Ibn Daqiq al-Ied.

Sekiranya lihat orang yang mendirikan solat di airport, stesen bas atau mana-mana tempat memakai selipar, itu bukanlah benda yang pelik dan ganjil. Janganlah melihat mereka atas bawah seolah-olah mereka itu penganut ajaran menyeleweng.

Persoalannya, adakah dianjurkan memakai selipar atau kasut ke dalam masjid dalam konteks Malaysia pada masa kini? Kasut yang kita pakai memijak jalanan dan 1001 perkara lain di luar, tidak sesuai dibawa masuk untuk memakainya ketika mendirikan solat di dalam masjid yang berkarpet hari ini. Masjid pada zaman baginda berlantaikan tanah. 

Baginda juga ada melakukan solat dalam keadaan tidak memakai selipar. Dalam hadis riwayat Abu Daud:

رأيت رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم يُصَلِّي حَافِيًا وَمُنْتَعِلًا

"Aku pernah melihat Rasulullah melaksanakan solat dalam keadaan tidak beralas kaki (tidak pakai capal atau selipar) dan juga aku melihat baginda bersolat dalam keadaan memakai selipar/capal" 

Kesimpulan:

I: Sah solat memakai selipar. Ia kebiasaan yang dilakukan oleh Rasulullah.

II: Sekiranya hendak memakai selipar atau kasut untuk mendirikan solat, syaratnya perlu suci daripada najis. Jika kena kotoran seperti selut atau tanah tidak mengapa, sah solat memakainya kerana ia bukan najis. 

III: Elakkan pakai kasut dari luar yang digunakan berjalan merata, lalu menggunakan kasut itu ke dalam masjid yang berkarpet seperti uruf di Malaysia hari ini untuk mendirikan solat. Walaupun solat tersebut sah, tetapi ia mengotori masjid.

(PROmediaTAJDID)

Selasa, 1 Julai 2025

CURI TANAH

CURI TANAH KUBUR SEBAGAI TABARRUK 

Kesan dari ajaran beberapa golongan 'ustaz' tentang hebatnya kubur itu, mulianya wali ini, bolehnya doa di kubur dan lain-lain telah menatijahkannya kepada orang awam melakukan ritual khurafat. 

Sebahagian 'ustaz' lebih sibuk mengajar orang ambil berkat dari kubur sehingga seakan-akan tidak boleh minta terus kepada yang Maha Memberi (Allah S.W.T). 

Menjadikan kubur sebagai pusat ibadah bukanlah ajaran Islam bahkan Islam melarang akan hal demikian, sabda Nabi ﷺ:

«لَعْنَ اللهُ اليَهُودَ وَالنَّصَارَى اتَّخَذُوا قُبُورَ أَنْبِيَائِهِمْ مَسَاجِدَ»

Terjemahannya: "Allah melaknat orang-orang Yahudi dan Nasrani, mereka menjadikan kubur nabi-nabi mereka sebagai masjid (tempat ibadah)." -1- 

Dalam riwayat ini, Nabi ﷺ menegaskan perbuatan mengambil tempat kubur untuk tujuan keberkatan atau ibadah adalah terlarang, dan merupakan sebab turunnya laknat Allah.

Adapun amalan mengambil tanah kubur, rambut si mati, kain kafan, atau air dari kawasan kubur untuk dijadikan pelindung atau pembawa tuah adalah antara bentuk khurafat yang dilarang. Kata al-Imam al-Nawawi رحمه الله:

"وَلَا يُقْبَلُ مِنْ أَحَدٍ أَنْ يَتَبَرَّكَ بِالتُّرَابِ وَالْحِجَارَةِ، فَذَلِكَ مِنْ عَمَلِ أَهْلِ الْجَاهِلِيَّةِ، وَهُوَ مُحَرَّمٌ وَبِدْعَةٌ."

Terjemahannya: “Tidak boleh sesiapa pun mengambil berkat dari tanah dan batu (kubur), itu adalah perbuatan ahli Jahiliyyah, dan ia adalah haram dan bid’ah.” —2- 

Senada dengan Imam al-Nawawi ialah Imam Ibn Taymiyyah رحمه الله menegaskan:

"فأما الاستشفاء بالتربة وغيرها من تراب القبور فهو من البدع المحرمة، وليس في الإسلام ما يدل على ذلك"

Terjemahannya: "Adapun berubat atau mengambil berkat dengan tanah dan seumpamanya dari kubur, maka ia adalah bid'ah yang diharamkan, dan tidak ada dalam Islam dalil yang menunjukkan keharusannya." —3- 

Perbuatan ambil tanah kubur bukan saja mengundang khurafat, bid'ah dan haram, bahkan perlu juga difikirkan hukum curi tanah kubur tersebut, apakah halal perbuatan itu?

Ingatlah tidak ada keberkatan melainkan dari apa yang disyariatkan oleh Allah dan Rasul-Nya sahaja. 

Tanah kubur orang soleh sekalipun tidak memiliki keberkatan secara zat, melainkan sekadar tempat persemadian jasad mereka. Islam tidak pernah mengajar untuk menjadikan tanah kubur sebagai sumber berkat.

Perbuatan mengambil berkat dari kuburan — seperti mengambil tanah kubur, menyapu-nyapu batu nisan, atau mengelilingi pusara — bertentangan dengan sunnah Rasulullah ﷺ, dan merupakan perbuatan bid’ah, bahkan boleh membawa kepada syirik jika diyakini bahawa kubur itu sendiri memberi manfaat tanpa izin Allah.

Marilah kita kembali kepada ajaran Islam yang murni, berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah, dan menjauhi adat serta amalan khurafat yang menyimpang.

1. Hadis Riwayat al-Bukhari (1330), Muslim (529). 
2. Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, jil. 5, hlm. 310.
3. Majmu' al-Fatawa, jil. 27, hlm. 91.

Loha
4 Muharram 1447H

Jumaat, 20 Jun 2025

JANGAN

JANGAN SUKA MEMINTA-MINTA

Rasulullah salallahu ‘alaihi wasallam bersabda; “Barang siapa meminta-minta padahal dirinya tidaklah fakir, maka ia seakan-akan memakan bara api”. [Hadis riwayat Ahmad]

Selasa, 10 Jun 2025

JIRAN


*INGIN KEJIRANAN YANG AMAN LAGI TENTERAM?*

Seseorang telah berkata kepada Imam Al-Auza’i rahimahullah;

قال الاوزاعي رحمه الله قلت لرجل اريد بيتا بجوار اناس لا يغتابون ولا يحسدون ولا يبغضون فاخذني الى المقبرة وقال انه هنا

“Aku ingin tinggal di rumah yang berjiran dengan orang-orang yang tidak menggibah, tidak iri hati, dan tidak menyimpan kebencian.” Lalu beliau membawanya ke perkuburan dan berkata, “Di sinilah tempatnya.” [Jami’ul Ulum wal Hikam: Jld. 2 ms 182]

Sabtu, 7 Jun 2025

IMAM PERANG ANI NONIANG

Wahai diri yang sedang mendaki jalan pulang,

Andai engkau sudah teguh menjaga solat lima waktu,
janganlah pula engkau menuding jari pada saudara yang belum begitu,
kerana engkau tahu akan dirimu kini,
tetapi tiadalah engkau tahu kisah mereka dengan Tuhannya.

Andai engkau sudah lazimkan kaki ke rumah Allah saban waktu,
janganlah pula engkau menyindir yang belum mampu,
kerana tiap langkahmu ke masjid adalah anugerah,
bukan hasil usahamu semata-mata.

Andai zakat dan sedekah sudah menjadi darah dagingmu,
janganlah pula engkau menyangka orang lain kedekut dan lupa,
kerana tidak semua yang memberi itu menunjuk,
dan tidak semua yang diam itu melupakan.

Andai hari ini engkau telah berubah,
telah kau tinggalkan lorong-lorong gelita semalam,
maka bersyukurlah —
tetapi janganlah dihina yang masih mencari jalan terang,
kerana barangkali esok, dia lebih hampir dengan Tuhan,
dan engkau kembali hanyut dalam kelalaian.

Ingatlah —
apa yang tampak pada pandangan mata,
tidak semestinya menggambarkan isi hati.
Sangkaan itu mudah tersasar,
dan hati manusia itu rahsia yang hanya diketahui oleh Rabbul Jalil.

Ketahuilah, istiqamahmu hari ini bukanlah jaminan esok,
kerana hati itu milik Tuhan —
dibolak-balikkan seperti ombak di lautan.
Hari ini engkau berdiri teguh,
esok mungkin rebah tersembam ke bumi.

Maka serulah kepada kebaikan dengan hikmah dan adab,
kerana hikmahlah mahkota para pendakwah,
tanpa hikmah, kata yang benar pun menjadi racun,
tanpa hikmah, nasihat yang indah pun ditolak dengan jijik.

Jika ingin menegur, maka tegurlah sepertimana Rasul menegur —
dengan lembut, dengan kasih, dengan rasa cinta.
Agar yang ditegur tidak menjauh,
agar yang menegur tidak dibenci.

Wahai jiwa,
tinggalkanlah kerja menghukum —
kerana itu bukan tugasmu,
itu urusan Tuhan yang Maha Mengetahui segala yang tersembunyi.

Berhentilah engkau mengambil alih tugas Tuhan.

Imam Perang Ani Noning

SEMOGA ALLAH MENERIMA AMALANMU

*SEMOGA ALLAH MENERIMA AMALANMU*

Nabi saw menyifatkan bahawa haji yang mabrur adalah sebaik-baik jihad. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah r.anha. Beliau pernah bertanya kepada Rasulullah. Kata beliau:

يَا رَسُولَ اللَّهِ نَرَى الْجِهَادَ أَفْضَلَ الْعَمَلِ أَفَلَا نُجَاهِدُ قَالَ لَا لَكِنَّ أَفْضَلَ الْجِهَادِ حَجٌّ مَبْرُورٌ

Maksudnya: ”Wahai Rasulullah, kami melihat jihad adalah sebaik-baik amalan. Adakah perlu kami berjihad. Baginda saw bersabda “Tidak, akan tetapi sebaik-baik jihad ialah haji mabrur.” [Hadis riwayat al-Bukhari :1423].

Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah. Nabi saw pernah bersabda:

الْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلاَّ الْجَنَّةُ

Maksudnya: ”Haji mabrur tidak ada ganjaran baginya melainkan syurga.” [Hadis riwayat Ahmad: 7348]

Jumaat, 30 Mei 2025

SAMUI ENDURANCE 2025

Telah tetaplah janji dan ikrar,
Pada malam Jumaat, tanggal dua puluh tujuh Jun yang mulia,
Sesudah Maghrib nan syahdu suasananya,
Bertemulah kita di Ban Dannok dengan semangat membara.

Enjin bersedia, hati penuh ikhlas,
Ukhuwwah terjalin ibarat baja,
Satu demi satu datanglah saudara,
Cahaya lampu menusuk senja.

Terdengarlah tawa, eratlah peluk,
Pemeriksaan terakhir tiada yang alpa,
Lalu berangkatlah kita bagaikan angin malam,
Menusuk lebuhraya, menyulam cerita.

Tayar berbisik di dada aspal,
Angin menjadi lagu, bintang saksi sejati,
Tatkala Subuh menyingsing pagi Sabtu dua puluh lapan Jun,
Tibalah kita di Jeti Don Sak, tepat pada janji.

Bersaflah kita dalam sunyi dan sujud,
Solat Subuh Shafie diimamkan penuh tertib dan khusyuk,
Mentari mula mencelah ufuk,
Kami menyeberang laut menaiki feri pertama, bersama harapan yang berkocak.

Di dek atas kita berteduh,
Sambil cahaya keemasan laut kami hirup dalam diam,
Setiba di pulau nan indah Samui,
Kita rebahkan beg, lantas ke pantai dengan sehelai seluar sahaja,

Angin masin membelai tubuh yang lelah,
Namun bukan jasad semata disembuh,
Roh dan jiwa juga dirawatnya,
Seakan laut mengerti luka-luka yang lama tertutup.

Tibalah malam, menyusuri pasar malam,
Bergaul mesra, tertawa ria,
Dari sotong pedas hingga roti manis,
Segala dijamah dengan rasa kasih sesama insan.

Ahad, dua puluh sembilan Jun menjelang cepat,
Kenangan dikemas bersama kelengkapan,
Berat hati namun penuh kesyukuran,
Perjalanan pulang pun bermula dengan perlahan.

Namun belum berakhir pertemuan ini,
Singgah kita di Hatyai, pasar malam berseri,
Di sanalah niat terpatri,
Untuk menghabiskan detik terakhir bersama, insyaAllah yang diberkati.

Bukan sekadar satu perjalanan,
Ia adalah persaudaraan yang tak terlerai,
Ia adalah kebebasan yang sejati,
Ia adalah penyembuhan yang abadi.

Doa

Doa, Ibadah Sang Hamba Doa itu ibadah, demikian sabda Rasulullah, rintihan hamba yang tunduk dan pasrah. Bukan untuk dibangga-banggakan,...